UMNO akan sokong calon Menteri Besar Kedah dipilih Anwar

Sinar Harian
Julai 16, 2023 13:15 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut. - Gambar fail
YAN: UMNO akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya Kerajaan Perpaduan menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang penting ketika ini adalah keserasian antara gabungan tersebut.
"Insya-Allah, siapa pun jadi menteri besar sama ada BN atau PH, siapa yang Datuk Seri (Anwar) pilih, kami akan sokong.
"Ini soal lain tetapi yang penting adalah kebersamaan. Apa yang wujud sekarang adalah keserasian dalam kalangan kita,” katanya ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, di sini pada malam Sabtu.
Sementara itu, ketika mengulas tangkapan kecurian unsur nadir bumi (REE), Ahmad Zahid berkata, mereka yakin dengan kecekapan pihak polis dan Jabatan Peguam Negara dalam menangani kes terbabit.
"Rakyat mahu tengok yang benar itu benar dan batil itu batil supaya rakyat tahu bahawa Kedah dipimpin oleh orang yang menipu rakyat,” katanya.
Dalam program sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail terlebih dahulu mendedahkan Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah menerima kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik pada tahun lalu.
Saifuddin berkata, pendedahan itu hanya permulaan kerana akan ada siri pendedahan dengan dokumen lengkap selepas ini. - Sinar Harian
#PRN #PRN Kedah #Anwar Ibrahim #Zahid Hamidi
;