'UMNO adalah Nokia, PH itu Samsung, Tun M pula Apple'
Sinar Harian
September 30, 2018 19:25 MYT
September 30, 2018 19:25 MYT
Pemuda UMNO menyifatkan parti itu sebagai jenama Nokia yang kini tidak lagi menjadi pilihan utama pengguna telefon pintar.
Wakilnya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kejayaan jenama itu menguasai pasaran dunia sebelum ini menyebabkan mereka terlalu selesa sehingga tidak melakukan pembaharuan produk kerana yakin pengguna tetap setia.
Katanya, jika UMNO tidak berubah selepas kalah dalam PRU14, mereka akan dilupakan rakyat kerana tidak relevan.
Menurutnya, kemenangan PH pada PRU14 pula diibaratkan seperti jenama Samsung yang berjaya menidakkan monopoli Nokia dalam pasaran telefon pintar.
"Samsung pada awalnya hanya ada beberapa produk telefon tetapi mereka hadir dengan kecanggihan teknologi untuk telefon pintar.
"Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) pula adalah jenama Apple yang wujud sejak 1970-an. Selepas itu mereka berehat seketika kerana ada masalah tetapi mereka kembali pada 2011 dan turut menguasai pasaran," katanya.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, UMNO perlu mengkaji semula pengagihan kerusi kepada pemuda parti dalam PRU akan datang.
"Saya bukan nak menidakkan orang lama tetapi dalam suasana politik semasa, ia perlu dibuat. Lihat sahaja PH, Kabinet hari ini mencerminkan landskap politik semasa.
"Dalam PRU lalu, daripada 191 kerusi, hanya tiga diberikan kepada Pemuda UMNO. Lihat orang lama berapa ramai ditewaskan oleh calon muda PH. Rakyat mahukan pemimpin dan menteri yang berkaliber," katanya.
#Apple
#berita politik
#Nokia
#Pakatan Harapan
#Pemuda UMNO
#Perhimpunan Agung UMNO
#PRU14
#Samsung
#UMNO