UMNO ada cara tersendiri selesaikan isu dalaman parti - Mukhriz
Bernama
Mei 11, 2015 18:54 MYT
Mei 11, 2015 18:54 MYT
Sebagai parti yang berpegang kuat kepada amalan demokrasi, UMNO mempunyai cara tersendiri dalam menangani dan menyelesai isu-isu dalamannya, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini.
Menteri Besar Kedah itu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri meminta supaya cara itu, yang menjadi amalan parti selama ini, diteruskan dalam usaha menyelesaikan permasalahan dalaman parti.
"Sebagai sebuah parti yang sangat berpegang kepada demokrasi, saya rasa biarlah proses yang diamalkan dalam parti yang menentukan hala tuju dan bagaimana ia hendak menangani isu-isu berbangkit," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai ulang tahun UMNO ke-69 hari ini dan usaha yang boleh dilakukan oleh anggota parti dalam mengatasi pelbagai isu dalaman yang dihadapi UMNO ketika ini.
"UMNO memiliki cara-cara yang tersendiri dalam mengatasi perbalahan dalaman, tetapi ia tidak semestinya dikongsi dengan khalayak ramai," katanya.
Mukhriz berharap sambutan ulang tahun penubuhan UMNO hari ini akan menjadikan lebih 3 juta anggotanya bersemangat untuk terus memperjuangkan parti yang menjadi tunggak kepada orang Melayu.
Anggota-anggota UMNO perlu terus berusaha mengekalkan kedudukannya sebagai parti yang memerintah dan menunjangi Barisan Nasional, katanya.