UMNO 2014: Jangan takut digelar rasis kerana bantu Melayu
November 28, 2014 17:49 MYT
Orang Melayu diminta tidak menjadi golongan apologetik dalam isu membantu masyarakat sendiri, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi negara.
Pembahas usul ekonomi dari Kelantan, Datuk Ikmal Hisham Ab Aziz berkata, orang Melayu juga diharap tidak risau jika digelar rasis kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam.
"Kita tidak perlu bersikap apologetik. Kita lakukan di jalan yang benar.
"Sebagai contoh Pelan Induk Transformasi Ekonomi Bumiputera. Siapa lagi yang boleh diharap orang Melayu untuk bela nasib mereka dalam bidang ekonomi. Hanya UMNO yang boleh.
Ikmal kemudiannya menegaskan kepentingan untuk rakyat Kelantan sendiri kepada pembangunan.
"Rakyat Kelantan perlu pembangunan, Pusat kena terus menerus bantu Kelantan. Mereka perlu lebuh raya, lapangan terbang juga kena dibesarkan," katanya.
Dalam pada itu, pembahas dari Pulau Pinang, Ir Mansor Musa menyarankan Majlis Pembangunan Bumiputera menambah peruntukan sehingga RM100 juta untuk disalur kepada golongan muda dan pelajar melalui aktiviti ekonomi.
Mansor turut melihat keperluan membantu koperasi kerana 90 peratus daripadanya terdiri daripada orang Melayu.
"Ini adalah ekonomi rakyat berpaksi kepada kesejahteraan rakyat. Koperasi lebih dekat dengan rakyat," jelasnya.