Ucapan Tian Chua adil, tetapi fahami sentimen perwakilan juga - Anwar

Firdaus Azil
Disember 8, 2019 15:55 MYT
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. - Foto BERNAMA
Ucapan keras Tian Chua, terutamanya yang menyentuh mengenai isu ‘taksub kepada pemimpin’, perlu dilihat dalam konteks yang menyeluruh, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ucapan itu, secara umum dilihat adil kerana Tian Chua mahukan pandangan yang berbeza turut dihayati, demi kebaikan dan kelangsungan PKR sebagai parti tunjang dalam Pakatan Harapan.
“Anda mesti lihat konteks ucapan itu secara keseluruhan, apa yang diungkapkan beliau agak adil. Tetapi harus diingat perwakilan juga tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku, kerana mereka juga hadir dalam kongres di peringkat negeri, mereka juga membaca berita,” katanya kepada sidang media selepas berucap menggulung Kongres Nasional Keadilan 2019, di sini hari ini.
Terdahulu, Tian Chua mengingatkan perwakilan dan Kongres bahawa jangan terlalu memperkatakan soal peralihan kuasa, sehingga dipandang serong oleh rakyat.
Bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata, seharusnya perbahasan oleh perwakilan perlu menyentuh isu lain secara menyeluruh, seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan banyak lagi, tanpa menyerang peribadi pimpinan yang dikatakan tidak sealiran dan sependapat dengan mereka.
BACA: Saya tak takut dengan FRU, kezaliman... apatah lagi pimpinan dan perwakilan - Tian Chua
BACA: Akur kepada perwakilan, tingkatkan displin, kata Anwar kepada kumpulan Azmin
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebagai pemimpin utama dalam Keadilan, beliau mengambil pendekatan untuk menenangkan keadaan, apatah lagi selepas melihat Tian Chua dicemuh dan diejek perwakilan.
Tetapi, jelasnya lagi, agak mustahil untuk mengawal sentimen atau pandangan perwakilan memandangkan asas penubuhan parti sendiri memberi peluang bersuara kepada semua, selagi mana ia tidak melangkaui batasan yang ditetapkan.
“Tugas saya juga adalah untuk menyejukkan keadaan, itu sebabnya kita dipilih sebagai pimpinan, untuk memastikan keadaan terkawal. Tetapi saya tidak fikir ia boleh sampai ke tahap di mana anda perlu menyediakan teks untuk mereka (perwakilan) baca,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Chua Tian Chang #Keadilan #Kongres Nasional Keadilan 2019 #Pakatan Harapan #Presiden PKR #taksub kepada pemimpin #Tian Chua
;