Ucapan Krismas: Guan Eng patut cermin diri sendiri dahulu - Pemuda UMNO

Astro Awani
Disember 26, 2016 16:54 MYT
KHAIRUL AZWAN: Lim Guan Eng disifatkan tidak melihat diri sendiri yang terpalit kes rasuah apabila menyatakan Malaysia sebuah negara penuh korupsi. - Gambar fail
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan tidak melihat diri sendiri yang terpalit kes rasuah apabila menyatakan Malaysia sebuah negara penuh korupsi di dalam ucapan Krismasnya.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ucapannya juga berniat tidak baik apabila menuduh polisi kerajaan hanya menguntungkan golongan elit sahaja.
"Guan Eng dalam ucapan Hari Krimasnya masih meneruskan tuduhannya bahawa Malaysia adalah sebuah negara gagal.
"Guan Eng menggunakan ucapan bekas Presiden Amerika mendiang Franklin Roosevelt dalam 'Four Freedoms Speech' sebagai rujukannya yang mana jelas bagi saya, dia masih tidak dapat memahami dengan terperinci akan inti pati ucapan tersebut.
"Namun sebelum meneruskan tuduhan ini, Guan Eng sepatutnya memandang kepada perkara-perkara yang telah dilakukannya sebelum ini di mana beliau sendiri telah didakwa oleh mahkamah menggunakan pengaruhnya untuk membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran sebenar," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Guan Eng dalam ucapannya turut mendakwa suara-suara yang memperjuangkan hak asasi biasanya akan didiamkan dan ditindas secara berterusan.
"Guan Eng sepatutnya mencermin dirinya sendiri bila mana Teh Yee Chew, seorang ahli dari parti yang dipimpinnya dihukum hanya kerana menyokong cadangan BN untuk mengadakan 'public hearing' bagi semua projek pembangunan reklamasi di Pulau Pinang.
"Malah ahli-ahli DAP yang berbangsa India disekat daripada menyuarakan pandangan dan kritikan demi kebaikan parti," jelasnya.
Tegas Khairul Azwan lagi, Guan Eng juga hanya seorang individu narsisitik dan juga hipokrit yang hanya pandai bermain kata-kata.
"Secara jujur, sekiranya mendiang Roosevelt masih hidup pasti beliau berasa jijik apabila dipalitkan dengan Guan Eng, pemimpin yang sentiasa cuba melakukan polarisasi komuniti melalui politik hasutan," katanya.
#Franklin Roosevelt #Khairul Azwan Harun #Krismas #Lim Guan Eng #Naib Ketua Pemuda UMNO
;