TYT Melaka tolak cadangan Ketua Menteri bubarkan DUN

Fareez Azman
Mac 2, 2020 11:50 MYT
Tun Mohd Khalil mendapati Adly tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN di negeri itu. - Bernama
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menerusi satu kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri Adly Zahari untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menjalankan Pilihan Raya Negeri.
Keputusan itu dibuat selepas Tun Mohd Khalil mendapati Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN di negeri itu.
Justeru itu, berdasarkan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka perlu meletakkan jawatan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.
BACA: Pakatan Harapan tumbang di Melaka, Perikatan Nasional tubuh kerajaan
Selanjutnya, berdasarkan perkara 7 (2)(a) Perlembagaan Negeri turut menyatakan TYT akan melantik Ketua Menteri Melaka yang baharu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Adly Zahari dalam satu kenyataan media di Facebooknya menyatakan beliau mencadangkan kepada TYT Negeri Melaka untuk membubarkan Dun memberi laluan kepada Pilihanraya Negeri dijalankan.
BACA: Adly Zahari cadang TYT bubar DUN, adakan Pilihan Raya Negeri
#Adly Zahari #bubar DUN #Malaysia2020 #Mohd Khalil Yaakob #MY2020 #pilihan raya negeri #Yang Dipertua Negeri Melaka