Tuntutan Sulu: Bersatu Sabah seru wakil rakyat negeri bersatu hati
Mirlen Axtius
Julai 19, 2022 11:10 MYT
Julai 19, 2022 11:10 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menyeru semua wakil rakyat negeri Sabah untuk bersatu hati dalam usaha mengekalkan kedaulatan negeri Sabah dan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.
“Semua wakil rakyat kita, tidak kira di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri, perlu bersama bersatu hati dalam isu tuntutan waris Kesultanan Sulu yang entah sampai bila akan menemui titik penghujungnya ini.
“Perkara ini melibatkan kedaulatan negeri kita, negeri Sabah dan hal sebegini tidak boleh dibincangkan dengan melihat kepada perbezaan dan sudut pandang yang negatif serta saling menyalahkan satu sama lain,” katanya.
Khairul Firdaus berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.
Menurut Khairul Firdaus, semua pemimpin Sabah tidak boleh menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai halangan untuk bersatu dalam menyuarakan isu waris Kesultanan Sulu dan kedaulatan Sabah.
“Jangan lihat perbezaan fahaman kita, ideologi kita atau apa-apa pendirian kita dalam perjuangan politik, isu waris Kesultanan Sulu dan tuntutan mereka adalah isu kita bersama, Sabah negeri kita.
“Kita mesti bersama dalam mempertahankan kedaulatan negeri Sabah dan negara kita Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, semua pemimpin Sabah wajar mencari solusi dan menetapkan pendirian bersama dalam usaha bagi membincangkan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.
“Berhenti untuk saling tunding jari pada satu sama lain, yang sini salahkan yang sana, yang sana salahkan yang sini, sudahlah.
“Sekarang bukan masanya lagi, isu tuntutan waris Kesultanan Sulu bukan isu kecil yang boleh kita pandang enteng, kita perlu bersama dan bangkit bersama untuk mencari solusi tuntas bagi kita terus kekalkan kedaulatan kita.
“We need a closure for this,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Khairul Firdaus berkata pelbagai persoalan dan permasalah daripada tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah sangat wajar dibincangkan kerana ia amat berkait rapat dengan kedaulatan Sabah.
“Memang banyak persoalan yang perlu kita bincang dan cungkil, dari kes pencerobohan di Lahad Datu, kini bangkit isu tuntutan aset negara, berkenaan aset Petronas yang dirampas.
“Dan wajar untuk semua pemimpin Sabah bersama bangkit untuk isu ini dan meminta penjelasan dan penyelesaian untuk titik penamat kepada permasalahan ini.
“Ya kita faham dan diberitahu bahawa segala tuntutan waris Kesultanan Sulu adalah tidak diiktiraf oleh Kerajaan, namun sampai bila perkara ini akan terus berlanjutan tanpa menemui titik noktahnya,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, Kerajaan Persekutuan wajar membahaskan isu tersebut dan pemimpin-pemimpin Sabah harus tampil sebagai wira bagi negeri Sabah, untuk memperjuangkan isu tersebut bagi dibahaskan.
“Pemimpin-pemimpin tempatan kita di Dewan Rakyat dan di DUN mesti jadi hero kita sekarang, mesti jadi hero rakyat Sabah, hero negeri Sabah, bersama berganding, bangkitkan dan bawa isu tuntutan Sulu ini kerana ini maruah kita, maruah Sabah, dan kedaulatan negara bukan satu isu yang harus dipandang remeh.
“Kita tidak mahu rakyat tertanya-tanya, rakyat hilang keyakinan dengan kita, rakyat sudah meletak harapan dan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin kita di Dewan Rakyat dan di DUN untuk menjadi suara mereka yang membawa denyut nadi mereka, dalam semua isu.
“Isu kesihatan, pembangunan, ekonomi, pendidikan, kebajikan, keselamatan dan kedaulatan turut tidak terkecuali, bahkan paling besar dan utama,” jelasnya lagi.
Khairul juga berkata, rakyat perlu diperjelaskan dan tidak boleh dikaburi dengan penjelasan yang kabur berkenaan isu kedaulatan dan tuntutan waris Kesultanan Sulu.
“Perbincangan tentang tuntutan ini perlu diteliti sedalam-dalamnya dan diatasi sebaiknya secepatnya kerana tuntutan waris Sulu yang tidak diselesaikan oleh Malaysia hingga menyebabkan rampasan aset Petronas di luar negara itu masih kabur.
“Hal ini memberi gambaran seolah-olah tuntutan waris Kesultanan Sulu itu mendapat pengiktirafan antarabangsa, dan untuk mengelakkan sebarang andaian atau pemikiran lebih dalam serta jauh ke depan, yang mungkin akan menimbulkan pelbagai andaian negatif, ada baiknya hal ini segera diatasi, caranya dengan semua pemimpin Sabah bersatu hati,” ujar beliau.
Terdahulu, usul mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen dari Sabah, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) ditolak di Dewan Rakyat.