Tuntutan kesetiaan Timbalan Presiden termaktub dalam Perlembagaan UMNO
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan
Disember 10, 2015 16:02 MYT
Disember 10, 2015 16:02 MYT
Keperluan untuk kesetiaan Timbalan Presiden kepada Presiden parti sudah terkandung dalam Perlembagaan UMNO sejak sekian lama.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerjasama pemimpin nombor satu dan dua memastikan kejayaan mana-mana organisasi.
"Sebenarnya dalam kita menjadi pemimpin banyak keputusan kita buat sendiri. Dalam kesetiaan kita tidak ada paksaan. Najib menuntut kesetiaan daripada semua di dalam parti dan saya memahaminya," katanya.
Shahrizat bekata demikian semasa mengulas ucapan dasar Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut senada dengan Shahrizat.
"Kita harap selepas ini kekuatan Presiden selaku peneraju parti keramat ini akan terus mantap dan kita teruskan perjuangan untuk bangsa dan tanah air dengan lebih gigih lagi," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ucapan Najib merupakan ingatan kepada semua perwakilan untuk mengembalikan kegemilangan parti seperti dahulu.
"Ia terus terang, terbuka, iklhas dan yang penting Najib sebut yang paling penting dalam sebuah organisasi adalah konsep kesetiaan dan ketaatan kepada pemimpin. Jika ini dapat dilaksanakan macam dahulu, UMNO akan kuat, kalau UMNO lemah, UMNO rosak daripada dalam, maka gelaplah nasib orang Melayu kerana UMNO," jelas Ismail.