Tuntutan jawatan oleh Bersatu tak salah - Annuar
Raja Hisyam Raja Zaid
Julai 3, 2022 18:23 MYT
Julai 3, 2022 18:23 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat Bersatu untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan beberapa jawatan Kabinet yang lain tidak dianggap sebagai satu kesalahan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, apapun yang diminta oleh pihak Bersatu akan dinilai dan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Tidak salah untuk meminta tetapi asasnya adalah perlantikan Timbalan Perdana Menteri dan menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri.
"Saya rasa minta tak salah jadi terpulang kepada PM," jelasnya yang ditemui selepas hadir pada majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena sambutan Jubli Perak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini petang tadi.
Hari ini Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegur tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak pelantikan jawatan TPM, menteri dan timbalan menteri.
Menurutnya, desakan itu seharusnya tidak timbul apatah lagi rakyat berada dalam situasi sukar menghadapi kenaikan mendadak harga barang.
Pada Sabtu Muhyiddin dilaporkan telah membangkitkan perbincangan melibatkan lantikan TPM, menteri dan timbalan menteri dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu.