Tun Mahathir wajar hormati demokrasi berparlimen - Salleh Said

Nazialita Geynna Maharan
Mac 28, 2016 23:34 MYT
Jelas Salleh, rakyat mempunyai kuasa sepenuhnya melalui pilihan raya untuk memberikan amanah dan mandat yang dipertanggungjawabkan kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. - Gambar fail
Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Majlis Raja-Raja untuk mendengar suara rakyat dalam pemilihan pemimpin negara dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar dan bersifat mempunyai kepentingan peribadi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, dalam hal tersebut bekas perdana menteri itu seharusnya menghormati sistem demokrasi yang menggariskan proses pilihan raya sebagai saluran utama untuk memilih pemimpin negara ini.
Jelasnya, menerusi pilihan raya, rakyat mempunyai kuasa sepenuhnya dengan memberikan amanah serta mandat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, Najib wajar diberikan peluang untuk menamatkan tempoh penjawatannya dan tindakan Tun Mahathir seolah-olah tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang menjadi kunci pentadbiran sejak zaman kemerdekaan lagi.
"Beliau (Tun Mahathir) berhak untuk membuat apapun tindakan asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang negara. Tun Mahathir telah berusaha untuk menjatuhkan perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) melalui proses dalam parti dan beliau gagal. Beliau tidak berpuas hati dengan bertindak keluar (dari UMNO) dan membuat Deklarasi Rakyat," katanya selepas menghadiri Majlis Kembara Jalinan Kasih (Connecting the Unconnected-CTU) anjuran KKMM di RPS Pos Kemar, di sini pada Isnin.
Salleh berkata, selepas Deklarasi Rakyat tidak mendapat sambutan menggalakkan, Tun Mahathir cuba pula melibatkan Majlis Raja-Raja.
Katanya lagi, tindakan bersungguh-sungguh Tun Mahathir memberi gambaran jelas ia adalah agenda peribadinya.
Gesaan Tun Mahathir dibuat ketika berucap di Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Ahad.
Seramai 19 pemimpin pelbagai latar belakang menyampaikan ucapan dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang.
#Deklarasi Rakyat #Kongres Rakyat #Najib Razak #Salleh Said Keruak #Tun Mahathir
;