Tun Mahathir tolak tuduhan salah guna kuasa kes mahkamah Ahmad Zahid
Sinar Harian
September 18, 2023 00:56 MYT
September 18, 2023 00:56 MYT
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau menggunakan kuasa untuk membawa kes berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke mahkamah.
Menurut beliau, kes terhadap Timbalan Perdana Menteri itu diangkat oleh Peguam Negara ketika itu kerana ia telah menjadi isu hangat semasa kempen pilihan raya sama seperti kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
“Tuduhan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan tindakan itu secara tergesa-gesa adalah tidak benar kerana Peguam Negara membuat penyiasatan dan mendapati terdapat kes untuk mendakwa Ahmad Zahid.
“Selama empat tahun dengan puluhan saksi dan bukti-bukti dibentang, Hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati apabila pendakwa berjaya menimbulkan kes prima facie dan Ahmad Zahid diarah untuk mempertahankan diri.
“Bagi saya, kenyataan dibuat Anwar itu bertujuan untuk mempertahankan keputusan pendakwa yang menarik balik kes Ahmad Zahid dan membuat andaian ada unsur penganiayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengulas kenyataan Anwar dalam satu temu ramah bersama Bloomberg News beberapa hari lalu yang menyatakan keputusan menarik balik 47 kes rasuah terhadap Ahmad Zahid adalah sepenuhnya keputusan Peguam Negara.
Dalam temu ramah itu, Anwar mendakwa kes-kes terhadap Ahmad Zahid itu dilakukan secara tergesa-gesa dan mengaitkan nasihat Dr Mahathir agar membubarkan UMNO sekiranya tidak mahu dihadapkan isu tersebut.
Tambah Dr Mahathir lagi, kesangsian terhadap kes-kes rasuah itu hanya timbul setelah Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Ahmad Zahid dan tiada kaitan dengan nasihatnya untuk membubarkan parti tersebut.
“Benar saya suruh bubar UMNO kerana yakin beliau (Ahmad Zahid) akan guna parti itu sebagai alat dan bahan rundingan untuk mengelak dirinya dari didakwa atas kesalahan-kesalahan rasuahnya.
“Saya percaya beliau cuba guna parti itu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri untuk gugurkan kesnya dan apabila tidak mendapat persetujuan, Ahmad Zahid tarik balik sokongan UMNO sehingga kerajaan jatuh.
“Hari ini terbukti jangkaan saya benar iaitu menggunakan parti untuk memastikan Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun semasa berkempen di dalam pilihan raya umum (PRU15), beliau mendesak penyokong supaya menolak Anwar dan DAP,” ujarnya.