Tun Mahathir tinggalkan Pejuang bersama 12 lagi ahli
Bernama
Februari 10, 2023 23:26 MYT
Februari 10, 2023 23:26 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau keluar parti itu bersama 12 lagi ahli lain hari ini.
Menerusi satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
"Keputusan Pejuang memutus hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami daripada kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
Bagi kami matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
"Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA," menurut notis berkenaan yang ditandatangani 13 ahli Pejuang.
Notis itu dimuat naik di Facebook bekas Timbalan Presiden Pejuang Datuk Marzuki Yahya yang turut menandatangani notis berkenaan.
Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir, yang merupakan bekas Perdana Menteri pada Ogos 2020 dan beliau kemudian meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada Disember tahun lepas.
-- BERNAMA