Tun Mahathir tidak sayangkan rakyat Sabah - PM Najib

Ruzaini Zulkepli
Mei 6, 2018 23:20 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut penyokong Barisan Nasional sempena Majlis Pemimpin Barisan Nasional Bersama Rakyat di Hongkod KDCA, pada Ahad.- Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Pemimpin seperti mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak untuk diangkat semula sebagai Perdana Menteri oleh rakyat Sabah kerana ternyata beliau tidak sayangkan rakyat negeri itu.
Menurut perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, ini jelas kerana sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kali ini, pemimpin itu yang dilihat "berangan-angan" mahu menjadi Perdana Menteri itu tidak pernah datang ke Sabah untuk melawat orang Sabah.
"Sebelum pilihan raya saya sudah selalu datang ke Sabah, saya suka berjumpa dengan orang-orang Sabah, ada seorang lagi yang pernah menjadi perdana menteri 22 tahun, dia tidak suka berjumpa dengan orang-orang Sabah.
"Dalam kempen ini dia nak jadi perdana menteri semula tapi yang peliknya kalau lah nak jadi perdana menteri, kenapa satu hari pun tidak kempen ke Sabah ini," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemimpin Barisan Nasional Bersama Rakyat di Hongkod KDCA, di sini hari ini.
PM Najib yang telah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri selama sembilan tahun terkenal sebagai Perdana Menteri yang mempunyai rekod "paling kerap" melawat ke Sabah berbanding perdana menteri sebelum ini.
Dalam pada itu, PM Najib juga menyatakan, beliau mempunyai banyak perancangan untuk negeri Sabah dan memohon agar rakyat Sabah terus memberikan mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan.
Daerah Penampang dan dua kerusi Dewan Undangan Negerinya yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum yang lalu, dijangka akan dirampas semula oleh BN berdasarkan sokongan yang semakin kukuh daripada penduduk Penampang yang meyakini hanya BN yang mampu membawa perubahan di kawasan itu.
#Barisan Nasional #Mahathir Mohamad #Najib Razak #Perdana Menteri #PM
;