Tun Mahathir tidak puas hati jumlah ahli Bersatu

Wan Syamsul Amly, Amirah Shariffudin
Mei 8, 2019 20:00 MYT
Menurut Dr Mahathir, ketika permulaan parti UMNO ditubuhhkan, orang Melayu mengeluarkan duit mereka sendiri dan tidak minta untuk dijadikan ketua atau apa sahaja. - Gambar fail
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa tidak puas hati dengan jumlah keanggotaan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak besar.
Pengerusi Bersatu itu berkata, keadaan itu menyebabkan kekangan dalam menjalankan aktiviti atau mendapatkan sokongan daripada anggota.
"Memang saya tidak berpuas hati, keanggotaan kita (Bersatu) tidak begitu besar. Kita dapati bahawa beberapa aktiviti adalah tidak bagus contohnya jika anda dipilih untuk menjadi seorang ketua dalam divisyen dan tidak mahu orang lain menyertai Bersatu kerana jika mereka sertai, mereka mungkin akan menggantikan dia.
"Jadi lebih baik mempunyai Bersatu kecil daripada Bersatu besar dan kerana kita mempunyai jumlah anggota sikit, apabila ada pemilihan kita tidak memiliki kakitangan untuk bekerja.
"Kita kemudian perlu mendapatkan kakitangan dari tempat lain. Ini budaya politik, budaya orang Melayu telah berubah," katanya pada sidang media khas satu tahun Malaysia Baharu di pejabatnya di sini baru-baru ini.
BACA: Bersatu alu-alukan kemunculan 'Parti Bangsa Johor'
BACA: Marzuki nafi wujud dua kem dalam Bersatu
Bagaimanapun, jelas Dr Mahathir, budaya itu mempengaruhi banyak parti Melayu selama ini.
"Saya telah melihat ini lebih daripada 70 tahun. Apabila kita mula-mula memulakan UMNO, orang mengeluarkan duit wang mereka sendiri, mereka tidak meminta apa-apa dan mereka tidak minta untuk dijadikan ketua atau apa sahaja.
"Sebenarnya ada banyak orang, ketika saya cadangkan agar mereka menjadi calon mereka katakan 'tidak, saya tidak layak', tetapi perkara seperti itu tidak berlaku sekarang.
"Sekarang walaupun dia lepas undian utama, dia fikir dia layak menjadi Perdana Menteri. Itulah hak mereka, jadi perkara ini bukan hanya mempengaruhi Bersatu tetapi juga parti-parti Melayu lain," ujar beliau lagi.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya dilaporkan berkata, parti itu mensasarkan pertambahan anggota mencecah sehingga 500,000 orang menjelang akhir tahun ini.
Menurut Abu Bakar, Bersatu optimis jumlah itu dapat dicapai kerana keyakinan dalam kalangan rakyat terhadap parti pimpinan Dr Mahathir itu.
#ahli #Ahli Majlis Tertinggi Bersatu #Bersatu #Mahathir Mohamad #Melayu #Pakatan Harapan #PPBM #rakyat #tidak puas hati #UMNO
;