Tun Mahathir sudah hilang pertimbangan- Hasan Arifin
Rahimah Abdullah
November 17, 2016 16:00 MYT
November 17, 2016 16:00 MYT
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah hilang pertimbangan kerana sanggup memakai baju perhimpunan Bersih selain bertemu bekas seteru politiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas wakil rakyat BN itu, tindakan bekas pemimpin negara itu dilihat hanya untuk kepuasan politik peribadinya.
"Tun Mahathir ini umur dia 92 tahun, saya rasa dia sudah hilang pertimbangan, dia seorang yang pernah memimpin negara kemudian atas sebab peribadi, dia sanggup pakai baju kuning (Bersih), sanggup berjumpa Anwar, sanggup buat apa sahaja. Apa yang dilakukan Tun Mahathir adalah untuk kepuasan politik diri sendiri," katanya semasa ditemui media di lobi parlimen hari ini.
Justeru katanya, tindakan bekas pemimpin itu tidak sepatutnya dijadikan ikutan dan contoh yang baik kepada anak muda di negara ini.
"Ini bukan satu ikutan yang baik untuk generasi muda. Generasi muda harus dipenuhi dengan nilai-nilai yang baik. Tindakan Tun Mahathir bukan satu contoh dan budaya yang baik kepada generasi hari ini. Baju merah pun sama," tegasnya.
Tun Mahathir sebelum ini muncul dalam satu video dengan memakai baju Bersih dan menggesa rakyat Malaysia supaya menyertai perhimpunan itu pada Sabtu ini.
Tun Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Kerajaan dengan menyertai perhimpunan Bersih di Dataran Merdeka atau lokasi lain.
Bekas Perdana Menteri itu juga sebelum ini dilihat memakai lencana 'free Anwar' (bebas Anwar) pada Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam.