Tun Mahathir saman Anwar RM150 juta: Pengurusan kes 31 Mei - Peguam
Irfan Faruqi
Mei 5, 2023 16:00 MYT
Mei 5, 2023 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman sebanyak RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Peguamnya, Rafique Rashid, menerusi kenyataan media hari ini, berkata saman itu berhubung dakwaan Anwar bahawa Dr Mahathir mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Rafique menjelaskan salinan dokumen tersebut telah diserahkan kepada firma guaman yang mewakili Perdana Menteri, Tetuan Thomas Philip pada jam 5.10 petang Rabu lalu.
Katanya, satu sesi pengurusan kes akan dijalankan pada 31 Mei depan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Jamhirah Ali.
"Tuntutan ini difailkan adalah bagi penarikan semula kenyataan tersebut dan juga bertujuan menghentikan segala tohmahan yang bersifat sama serta satu ganti rugi am dan teladan yang berjumlah RM150 juta setelah mengambil kira tuduhan jahat dibuat oleh seorang Perdana Menteri," jelas Rafique dalam kenyataannya.
Media hari ini melaporkan, Dr Mahathir telah menghantar notis tuntutan kepada Anwar mengenai kenyataan yang dibuat semasa Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Pelaksanaan Sebuah Idealisme' pada Mac lalu.
Anwar kemudian dalam reaksi ringkasnya berkata, menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.