Tun Mahathir perjelas 'kekeliruan' tentang 1MDB
Astro Awani
Mei 29, 2015 13:57 MYT
Mei 29, 2015 13:57 MYT
Pembayaran semula hutang dan pertanggungjawaban akibat kehilangan wang adalah dua perkara berbeza, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam menjelaskan tentang kekeliruan antara dua perkara itu, bekas Perdana Menteri itu memberi pandangan tentang bagaimana kehilangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah mencetuskan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan bagaimana kepimpinan yang lemah boleh menggoyahkan negara.
Berikut adalah catatan terbaharu dari blog chedet.cc:
Mengenai 1MDB
1. Terdapat beberapa kekeliruan mengenai pembayaran semula hutang dan kehilangan wang 1MDB.
2. Walaupun hutang telah dibayar sepenuhnya melalui penjualan aset yang dibeli 1MDB, itu tidak bermakna 1MDB bebas daripada pertanggungjawaban bagi kerugian yang mencecah berbilion-bilion.
3. Dalam bisnes, wang boleh hilang akibat pelaburan dan pengurusan yang salah. Itu boleh diterima walaupun CEO dan pengurus syarikat akan dipecat.
4. Namun, apabila wang sudah tiada dan pihak pengurusan tidak boleh menjelaskan ke mana ia ‘pergi’ dan bagaimana ia hilang maka pihak pengurusan perlu bertanggungjawab walaupun ada jaminan atau hutang telah dibayar.
5. Oleh yang demikian, dengan wang yang didakwa dilaburkan di Pulau Cayman dan walaupun dikatakan telah dibawa pulang dan kini di Singapura, kewujudan wang itu tidak dapat dibuktikan dalam bentuk fizikal. Maka pihak pengurusan perlu bertanggungjawab atas kehilangannya dan tanggapannya adalah pihak pengurusan telah tersalah urus wang itu melainkan dibuktikan sebaliknya.
Mengenai GST
6. Sementara itu tentang GST, bayaran tambahan yang dikenakan perlu ditanggung oleh rakyat. Mereka perlu membayar lebih atas setiap yang mereka beli. Ini bermakna kuasa membeli mereka semakin rendah. Dalam erti kata lain mereka menjadi semakin miskin untuk menambah kekayaan Kerajaan.
7. Walaupun barangan yang dibeli tidak dikenakan GST, namun pihak pembekal yang membekal barangankepada peruncit terpaksa menaikkan harga kerana mereka juga perlu membayar GST. Peruncit yang menanggung kos tinggi pula akan menekan harga ke atas pelanggan. Akhirnya, rakyat yang menanggung kos GST.
8. Pihak Kerajaan boleh mengelakkan cukai tambahan pada rakyat ini dengan mengurangkan kos yang dibelanjakannya. Memberikan wang dan pelbagai lagi pemberian yang tidak perlu kepada rakyat mungkin tindakan popular namun dalam kebanyakan masa, pihak penerima tidak perlukan pemberian itu. Adalah lebih baik untuk mendidik dan melatih rakyat dalam bidang pekerjaan bergaji tinggi yang membawa pulangan pendapatan tinggi bagi setiap hasil kerja. Menaikkan gaji tanpa kenaikan produktiviti, menambah bilangan hari cuti, menggantikan cuti yang jatuh pada hujung minggu, melaras gaji minimum tinggi, membazirkan wang untuk hal-hal mewah – semua ini meningkatkan tanggungan Kerajaan, menyebabkan peningkatan defisit. Dengan pengurusan kewangan tyang lebih baik, GST tidak perlu dikenakan ke atas rakyat.
9. Tentu sekali 1MDB dan Pembinaan PFI hanya akan mengakibatkan pengurusan pinjaman yang tidak mapan. Apabila kerugian wang, beban kewangan Kerajaan meningkat. Dengan memperkenalkan GST, Kerajaan sebenarnya meminta rakyat termasuk mereka yang bukan dalam golongan yang dicukai pendapatannya, untuk menyelamatkan Kerajaan.
Mengenai kepimpinan
10. Seorang pemimpin yang dipilih tidak semestinya tidak boleh berundur sebelum tempoh penggal pentadbirannya berakhir. Perdana Menteri sebelumnya juga melalui proses pemilihan, malah dengan majoriti yang lebih besar. Namun, beliau telah dipujuk untuk berundur oleh Perdana Menteri sekarang ini.
11. Jadi, apakah salahnya meminta Perdana Menteri sekarang ini untuk berundur? Beliau sudah secara jelas membuat banyak kesilapan berbanding Perdana Menteri sebelumnya.
12. Sebelum ini, tidak ada yang bercakap tentang perbelanjaan Perdana Menteri yang mewah, termasuk pembelian barangan yang mahal, untuk menjalani gaya hidup mewah. Sebahagian daripada tuduhan tersebut mungkin tidak benar. Tetapi isu tersebut tidak pernah kedengaran sewaktu pentadbiran Perdana Menteri sebelumnya. Apabila isu itu diperkatakan, ia bermakna gaya hidup yang dijalani Perdana Menteri itu berbeza daripada apa yang disangkakan.
13. Atas sebab ini dan banyak alasan lain, Najib perlu berundur.
14. Bagi khalayak besar yang menyokong beliau, kita semua telah menyaksikan demonstrasi sebegitu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Begitupun, keputusannya adalah lebih teruk daripada PRU-12. Semua demonstrasi itu bukanlah diterjemah sebagai sokongan buat Najib. Mereka datang kerana pebagai pemberian insentif.