Tun Mahathir mampu pimpin Malaysia ke arah masa depan lebih cemerlang - Samy Vellu
Bernama
Mei 14, 2018 06:47 MYT
Mei 14, 2018 06:47 MYT
Bekas Presiden MIC Tun S. Samy Vellu melahirkan keyakinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memimpin negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang untuk seluruh rakyat Malaysia.
Samy Vellu, yang pernah berkhidmat sebagai menteri di bawah kepimpinan terdahulu Dr Mahathir dari 1981 hingga 2003, berkata beliau sentiasa menyanjung tinggi perdana menteri ketujuh itu.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kemenangan gabungan itu pada pilihan raya umum lepas.
"Paling utama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia. Saya memberi sokongan yang ikhlas dan padu kepada Tun Dr Mahathir sama seperti sebelum ini, dan pasukan dinamiknya," kata Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India dan Asia Selatan itu dalam kenyataan pada Isnin.
Samy Vellu memimpin MIC dari 1981 hingga 2010.
Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr. Mahathir membentuk kerajaan selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama 61 tahun.
Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri buat kali kedua pada 10 Mei lepas.
-- BERNAMA