Tun Mahathir jangan melatah syarikat anak disiasat LHDN - Shaiful Hazizy

Astro Awani
Ogos 11, 2017 15:09 MYT
SHAIFUL: Pemuda UMNO Kedah meminta Dr. Mahathir bersikap tenang dan berlapang dada apabila beberapa syarikat milik anaknya disiasat LHDN. - Gambar fail
Pemuda UMNO Kedah meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad bersikap tenang dan berlapang dada apabila beberapa syarikat milik anaknya disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu harus sedar itu adalah prosedur biasa dan tidak perlu melatah mempertikaikan mana-mana pihak untuk turut sama disiasat.
"Kita yakin dan percaya pihak berkuasa sedang menjalankan tugas mereka dengan telus dan penuh profesional tanpa mengambil kira sentimen tertentu.
"Atas prinsip 'Berani kerana Benar, kita menggesa Dr Mahathir tidak melatah dan melompat apabila pihak LHDN menjalankan tugas mereka.
"Kita juga yakin prosedur yang sama telah dibuat ke atas mana-mana syarikat tanpa mengira apa jua hubungan kekeluargaan bersama pihak pemimpin tertentu," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Dr Mahathir tanam politik kebencian - Mahdzir
BACA: Tiada komplot, saya lebih kenal Zahid - PM Najib
Sumber sebuah portal baru-baru ini melaporkan, LHDN dikatakan menyerbu sebuah syarikat milik salah seorang anak lelaki Dr Mahathir.
Dalam pada itu Shaiful turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa pentadbiran dan operasi agensi ataupun badan kerajaan bukannya seperti dahulu.
"Maksud dahulu iaitu zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang mentadbir secara 'kuku besi'.
"Kali ini semua agensi dan badan kerajaan telah menjadi proses 'transformasi untuk lebih professional dan telus.
"Oleh yang demikian tidak timbul soal LHDN dan agensi kerajaan menjadi boneka kepada mana-mana pihak," jelasnya.
Katanya lagi, anak-anak Dr Mahathir kini tidak lagi berada di dalam 'sangkar emas ataupun dilindungi oleh tangan-tangan yang tertentu.
"Kita memohon agar pihak berkuasa terus menjalankan tugasan mereka tanpa sebarang ketakutan dan tekanan.
"Hakikatnya, kekayaan 'luar biasa' anak-anak Dr Mahathir ini perlu dibongkar kerana mereka sudah lama dilindungi oleh kuasa-kuasa tertentu.
"Kita juga ingin menggesa agar pihak berkuasa dengan serta merta membuka kertas siasatan khas bagi menyiasat sekiranya wujud salah laku korporat syarikat-syarikat milikan anak-anak Dr Mahathir," ujarnya.
Shaiful memberitahu, Pemuda UMNO Kedah masih lagi ingat apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia mendedahkan amalan 'nepotisme dan kronisme Dr Mahathir semasa berucap di dalam Persidangan Pemuda UMNO Malaysia.
"Dr Mahathir pula terus mengaktifkan mod serangan (attacking mode) di dalam ucapan dasarnya pada keesokkan harinya.
"Tindakan ini membuktikan bahawa Dr Mahathir sentiasa ingin melindungi kemungkinan salah laku korporat anak-anaknya.
"Kita mohon pada kali ini perkara ini haris dibongkar dan kebenaran seharusnya didedahkan," katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, politik yang dimainkan Dr Mahathir merupakan politik menanam kebencian terhadap kerajaan.
Tegasnya, cara politik yang dibawa Dr Mahathir menanam kebencian dan menyalahkan Kerajaan Persekutuan dalam apa jua perkara.
#Kedah #LHDN #Mahathir Mohamad #PPBM #UMNO
;