Tun Mahathir jangan bersikap 'sebelah tangan mahu bersalam, sebelah tangan mahu menumbuk'
Bernama
Februari 15, 2017 17:14 MYT
Februari 15, 2017 17:14 MYT
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad diingatkan supaya tidak bersikap 'sebelah tangan mahu bersalam, sebelah tangan lagi mahu menumbuk' dalam membincangkan kerjasama antara parti itu dengan PAS.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata beliau melihat cara bekas Perdana Menteri itu tidak akan berjaya 'memujuk' PAS untuk kembali menyertai pembangkang dalam Pakatan Harapan.
"Cara dan kenyataan Tun Dr Mahathir ini tak membantu. Kalau nak bincang buat cara nak bincang. Jangan dalam masa yang sama hulur (sebelah) tangan (untuk bersalam), masa sama (sebelah tangan lagi) tumbuk," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Dr Mahathir sebelum ini memberi tempoh selama sebulan kepada PAS untuk menyertai Pakatan Harapan, namun PAS memutuskan untuk tidak menyertai pakatan berkenaan kerana ia turut disertai oleh DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau kemudiannya menyelar tindakan PAS dan mendakwa parti itu tidak akan mampu bersendirian dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata jika Dr Mahathir merasakan PAS tidak efektif dan hanya membebankan Pakatan Harapan, maka cara terbaik adalah setiap parti membawa hala tuju masing-masing.
"Kita (PAS) dah lama duduk bersendirian dan kalau Tun (Mahathir) rasa PAS tak efektif, tak perlulah dia minta kita masuk dalam Pakatan Harapan.
"Sebab kalau kita masuk, kita akan menyusahkan dia pula kerana dia kata kita tak efektif, kita tak boleh bantu ahli... jadi kita bawa jalan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Amar berkata tiada mana-mana pihak boleh memaksa PAS untuk membuat keputusan mengikut selera mereka kerana parti itu mempunyai penilaian sendiri terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.
"Kami ada pendirian kami sendiri... tak ada orang boleh paksa PAS. Kita buat keputusan apa semua pun dengan pandangan dan penilaian kita sendiri. Setakat ini tak ada lagi keputusan (yang dibuat PAS) kerana orang paksa," katanya. -- Bernama