"Tun Mahathir dok tahu hok mana wajib, hok mana sunat"- Abdul Hadi
Astro Awani
Mei 6, 2018 19:43 MYT
Mei 6, 2018 19:43 MYT
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertikai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menziarahi kubur Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang hukumnya sunat sedangkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sanggup meninggalkan perkara wajib, iaitu menegakkan Islam.
Tegasnya, cara yang ditunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak betul.
"Yang kita sedihnya dia (DAP) guna orang tua, Tun Mahathir yang berusia lebih 90 tahun untuk lawan, habis bercelaru, dok tahu hok (yang) mana wajib, hok mana sunat. Pergi ziarah kubur ni sunat, tetapi menegakkan Islam dalam pemerintahan ni wajib. Hok (yang) wajib tinggal, yang sunat dia buat.
"Tinggal hok wajib, buat hok sunat, ziarah kubur. Sepatutnya (beliau) mempertahankan kekuasaan orang Islam, ini yang pentingnya," katanya semasa Bicara Ayoh Chik bersama orang Besut di sini hari ini.
Justeru beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai apa yang dilakukan Tun Mahathir.
"Tidak apa ziarah kubur sepuluh kali pun, tiada masalah, ia sunat dan boleh dapat pahala. Tetapi jangan tinggal hok wajib. Ini cara yang sangat tidak betul. Ini kita kena faham."
Dalam pada itu katanya, tindakan mengundi DAP hanya akan mengundang bahaya kepada negara.
"Undi DAP menyebabkan negara dalam keadaan bahaya. DAP banyak dapat kerusi dalam pilihanraya PRU13 baru-baru ini. Kemudian, DAP membuat perancangan buat parti Melayu, parti yang boleh kerjasama dengan dia. Parti yang boleh jadi 'kuda' dia," jelasnya lagi.
Berikutan sikap DAP itu, Pas mengambil keputusan untuk tidak bersama parti berkenaan mahupun Barisan Nasional (BN).
"Sebab itu Pas tidak mengikut Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Pas duduk di tengah. UMNO dengan agenda lama, Pakatan Harapan orang lama juga. Kita lawan sungguh-sungguh. Kita nak orang Islam yang memerintah dalam negara ini, bukan nak halau, tetapi ahli politiknya mesti orang Islam yang menguasai," tambah beliau.
Ia berikutan katanya Pas membawa budaya politik matang dan sejahtera.
Pagi tadi, hajat Tun Mahathir menziarah kubur bekas Mursyidul Am Pas tidak kesampaian susulan salah seorang anak Allahyarham Datuk Nik Aziz, Nik Adli bertindak meminta pihak pengurusan Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka, untuk mengunci pintu masuk ke makam bapanya.
#Abdul Hadi Awang
#agenda
#anak
#Barisan Nasional
#Besut
#DAP
#Islam
#Mahathir Mohamad
#MalaysiaMemilih
#Melayu
#menteri
#Nik Aziz
#Pakatan Harapan
#PAS
#Perdana Menteri
#politik
#presiden
#PRU13
#rakyat
#UMNO