Tun Mahathir bukan lagi Pengerusi Bersatu - Muhyiddin
Afiezy Azaman
Februari 29, 2020 12:14 MYT
Februari 29, 2020 12:14 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa 24 Februari 2020, demikian ditegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, menurut Fasal 16.9 perlembagaan parti, jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu.
Keadaan itu berterusan sehingga pemilihan diadakan untuk memilih Pengerusi baharu, katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menafikan sebarang kenyataan Dr Mahathir yang dikeluarkan atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Bersatu.
"Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi yang baharu.
"Saya selaku Presiden memangku jawatan Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Pada 24 Februari lalu, Dr Mahathir telah meletak jawatan Pengerusi Bersatu.
Bagaimanapun, pada hari sama, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dilaporkan sebulat suara menolak surat peletakan jawatan Dr Mahathir itu.
#Bersatu
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#pemangku presiden
#pemilihan
#Perlembagaan Bersatu
#perlembagaan parti