Tun Mahathir berkawan semula dengan pihak yang gelarkannya 'Firaun' - Hishammuddin
Astro Awani
Mac 4, 2016 07:49 MYT
Mac 4, 2016 07:49 MYT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan terlupa kepada kumpulan yang pernah menentangnya pada satu masa dahulu sehingga sanggup bersama menandatangani Deklarasi Rakyat.
Beberapa pemimpin tertinggi UMNO juga melihat tindakan Dr Mahathir yang duduk bersama pemimpin pembangkang sebagai satu usaha mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ahli parti perlu faham Dr Mahathir sudah keluar dari UMNO dan tindak-tanduknya kini sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan UMNO.
"Malah, tindakan Tun Mahathir hari ini, tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Hishammuddin mengulas tindakan Dr Mahathir yang menandatangani deklarasi bersama dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.
Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.
Kata Hishammuddin, Dr Mahathir juga seolah-olah terlupa pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) itu suatu ketika dahulu yang menggelarkan beliau sebagai ‘Firaun’.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, penentuan bagi siapa yang akan menerajui kerajaan tidak boleh dibuat pada satu sidang media mahupun melalui kempen menandatangani memorandum.
"Dalam sistem demokrasi, penentuan itu hanya boleh dibuat pada pilihan raya melalui mandat pengundi. Jika mereka tidak puas hati, kami cadangkan mereka bergabung dalam satu perikatan politik rasmi dan berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum kelak.
"UMNO dan Barisan Nasional akan terus berkhidmat demi rakyat dalam menjayakan program transformasi Najib dan agenda nasional Rancangan Malaysia ke-11.
"Kami tiada masa untuk berpolitik kerana yang lebih utama adalah usaha yang dijalankan oleh kerajaan di bawah pimpinan Najib untuk menjaga kebajikan rakyat," jelasnya.
Pandangan sama diberi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut kesal dengan tindakan Dr Mahathir kerana sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan utama negara.
"Semuanya hanya kerana dendam kesumat dan kepentingan peribadi. Deklarasi ini membuktikan Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin telah mencabul semua prinsip yang dipegang dan diperjuangkan semasa menjadi pemimpin di dalam UMNO," ujarnya.
#Deklarasi Rakyat
#Dr Mahathir
#Hishammuddin
#KHAIRY
#Najib Razak
#Shahrizat Jalil
#Tun Mahathir
#UMNO