Tun Mahathir beri isyarat jelas tolak budaya UMNO dalam Bersatu

Rahimah Abdullah
Disember 29, 2018 05:00 MYT
Dr Mahathir, Mukhriz dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) ketika hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 Bersatu 2018 di PICC, Putrajaya, 29 Dis, 2018. --fotoBERNAMA
Arahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan bekas pemimpin UMNO memegang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) satu isyarat jelas mahu mengekang penularan budaya parti itu, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya, walaupun berlapang dada dengan kemasukan mereka, Pengerusi Bersatu itu dilihat turut mengambil kira pengorbanan anggota parti sedia ada.
“Saya fikir antara sebabnya adalah, ada kerunsingan di pihak ahli Bersatu yang banyak berkorban sejak sebelum PRU14.
“Memang terbuka berlapang dada terima ahli UMNO masuk Bersatu, namun bimbang juga kalau budaya UMNO menular.
"Jadi isyarat Tun itu akan mampu membendung masalah itu berlaku,” katanya kepada media selepas Ucapan Dasar Pengerusi Bersatu di sini pada Sabtu.
Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya berkata, Bersatu hanya akan menerima bekas pemimpin UMNO sebagai individu bebas dan jika diterima, mereka tidak boleh memegang jawatan sehingga PRU15.
#ahli parti #bekas pemimpin UMNO #Bersatu #budaya UMNO #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pengorbanan #PRU14 #UMNO
;