Tun M umum nama parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air

Ridauddin Daud
Ogos 12, 2020 22:33 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi menyampaikan watikah pelantikan sebagai calon bebas kepada Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. - Foto BERNAMA
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya baru-baru ini akan dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air.
Pengumuman itu dibuat pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini pada malam Rabu.
“Parti ini mesti bersih, bukan parti kudapan, sebab itu saya harap mereka yang sudah tinggal Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sudah jadi blackout boleh cerah balik, masuk Parti Pejuang Tanah Air.
“Inilah parti kita,” katanya ketika berucap dalam majlis itu seraya mendapat tepukan dan sorakan daripada penyokonngnya yang berada di majlis tersebut.
Tambah beliau, keputusan meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim merupakan langkah permulaan buat parti itu.
BACA: 'Pejuang' nama parti baharu Dr Mahathir
BACA: Slim Memilih: Sah, parti baharu Tun M pertaruhkan peguam di PRK DUN Slim
“Kita bermula dengan memperkenalkan seorang calon di PRK DUN Slim, oleh kerana kita belum dapat tubuh parti, dia dikenali sebagai calon Bebas tapi dia sebanrnya dia adalah calon Pejuang.
“Saya harap segala pejuang bangsa di Slim akan menyokong calon kami, calon parti Pejuang,” ujarnya.
Dalam majlis sama, parti baru diterajui Dr Mahathir itu mempertaruhkan peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim.
Bagaimanapun, Amir Khusyairi akan bertanding sebagai calon Bebas memandangkan parti baru itu masih lagi belum didaftarkan secara rasmi.
Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata, sebelum ini sudah ramai yang melahirkan hasrat untuk menyertai parti tersebut meskipun mereka belum tahu nama parti berkenaan.
“Kita akan besarkan parti kita, waktu ini ramai yang minta untuk sertai parti baru ini walaupun belum tahu namanya, tapi mereka akan ambil bahagian dalam parti ini.
“Kami jemput semua yang ingin berjuang bukan untuk apa aku dapat tapi untuk bangsa, agama, negara, sila sertai parti ini,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa parti tersebut bukan untuk memecah-belahkan orang Melayu sebaliknya merupakan tempat orang Melayu memilih sebuah parti yang berjuang untuk bangsa mereka.
Dr Mahathir pada petang Rabu memberi bayangan berkenaan nama parti baru yang ditubuhkan namun tidak menyatakannya secara jelas, cuma hanya menggambarkan nama parti baru tersebut mungkin ada perkataan ‘Pejuang’.
Pengumuman tersebut sekali gus menjawab segala teka-teki berhubung parti baru itu yang diasaskan selepas beliau dan beberapa pemimpin lain tidak lagi bersama Bersatu.
#Amir Khusyairi Mohamad Tanusi #Bersih #calon #DUN Slim #Langkawi #Mahathir Mohamad #Malaysia #Parlimen #Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang #pilihan raya #pilihan raya kecil #PPBM
;