Tun M tolak cadangan jadi Menteri Mentor: 'Saya pernah cuba beri nasihat kepada PM, mereka tolak'

Astro Awani
Jun 23, 2020 16:50 MYT
Dr Mahathir berkata Perdana menteri ingin menunjukkan beliau bertanggungjawab atas segalanya dan semua idea datang daripadanya. - Gambar Fail
Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan untuk melantik beliau sebagai menteri mentor atau penasihat dengan alasan tidak ada perdana menteri yang akan menerima pandangannya.
“Pengalaman saya ketika cuba memberi nasihat kepada perdana menteri, mereka menolak dan tidak mendengar nasihat saya.
“Sama seperti bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan sekarang Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu temubual bersama Sin Chew Daily.
Kata Dr Mahathir, seorang Perdana Menteri ingin meninggalkan legasinya sendiri dan bukan dikenang kerana nasihat yang diterimanya daripada seorang penasihat.
“Perdana menteri ingin menunjukkan beliau bertanggungjawab atas segalanya dan semua idea datang daripadanya. Beliau ingin memiliki legasinya sendiri dan tidak mahu orang berkata beliau memperolehinya daripada Dr Mahathir,” katanya.
Ketika diwawancara oleh Channel News Asia, Anwar memberitahu sekiraya PH memenangi pilihanraya akan datang, beliau sedia mempertimbangkan jawatan menteri mentor atau penasihat seperti mana Singapura pernah melantik mendia Lee Kuan Yew sebelum ini.
BACA: Dr Mahathir hanya berkerjasama dengan Amanah dan DAP, tidak lagi dengan PKR
Anwar menjelaskan beliau lebih sedia mempertimbangkan perkara itu berbanding menerima Dr Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi.
PH kini bergolak ekoran keputusan PKR bertegas mahu Anwar menjadi calon perdana menteri manakala DAP dan Amanah pula cenderung menyokong Dr Mahathir.
Alasan yang diberikan oleh DAP dan Amanah ialah hanya Dr Mahathir mampu menarik sokongan ahli parlimen lain manakala Anwar gagal mendapatkannya biarpun telah diberikan masa yang secukupnya.
#Amanah #Anwar Ibrahim #Bersatu #DAP #Dr Mahathir Mohamad #Lim Guan Eng #Lim Kit Siang #Mohamad Sabu #Mohd Shafie Apdal #PKR #Warisan
;