Tun M tidak akan mengakui kesalahannya - Najib

Shafiq Noordin
April 18, 2018 20:14 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalaman dengan orang ramai pada Program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Dewan Jubli Perak hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai kecenderungan untuk tidak mengakui kesalahan-kesalahan yang dibuat olehnya ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mahathir sering menyalahkan kerajaan dan individu-individu lain tetapi tidak pernah mahu mengaku kegagalannya ketika mentadbir negara hingga mengalami kerugian berbilion ringgit.
Beliau memberikan contoh antara beberapa pelaburan mega bernilai berbilion ringgit itu seperti Perwaja Steel, Forex dan Proton.
Najib turut mengkritik tindakan Mahathir yang menyalahkan mantan Ketua Polis Negara dan individu lain mengenai isu Op Lalang dan Mamali.
"Op Lalang bila jadi Op Lalang, bukan salah saya tetapi salah ketua polis negara. Juga bukan salah saya apabila Mamali.
"Juga bukan salah saya bila Forex hilang tetapi salah Musa Hitam. Jadi tuan-tuan tidak payah terpesong. Kita hendak meletakkan harapan kita kepada pihak yang akan membawa ke arah yang jauh lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra dan kenduri rakyat di Kuala Kangsar, di sini pada Rabu.
#forex #isu semasa #Malaysia Memilih #Najib Razak #Pengerusi BN #Perdana Menteri #Perwaja Steel #PPBM #Proton #Tun Dr Mahathir Mohamad
;