Tun M suka Tok Pa masuk Bersatu
Wan Syamsul Amly
Oktober 26, 2018 00:25 MYT
Oktober 26, 2018 00:25 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa gembira selepas menerima kemasukan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam partinya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, pihaknya memberi masa kepada Mustapa sebelum melihat pendiriannya sebelum menerima masuk bekas tokoh UMNO itu.
"Pertama saya amat suka kerana menerima keahlian bekas tokoh UMNO, kita memberi masa kepadanya untuk memberi Ahli Parlimen bebas dan melihat pendiriannya dan bersetuju, dia layak untuk jadi ahli bersatu," katanya semasa sidang media selepas mesyuarat parti itu di sini, hari ini.
Sementara itu Mustapa mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Bersatu yang menerima kemasukannya di dalam parti itu.
"Terima kasih Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, keputusan ini menyokong langkah-langkah Dr Mahathir dan kerajaan Malaysia, usaha ini amat penting, melestari dan membantu di samping memberi manfaat kepada segenap rakyat Malaysia," ujarnya.
Pada 18 September lepas, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO kerana berasakan hala tuju diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.
Sementara Datuk Seri Anifah Aman yang merupakan Ahli Parlimen Kimanis dan bekas Menteri Luar turut berbuat demikian sehari selepas Mustapa meletak jawatan.
Tindakan Mustapa akan membolehkan Bersatu memiliki 14 ahli Parlimen berbanding 13 orang sebelum ini.
Selain itu, Mustapa juga menjadi bekas pemimpin UMNO pertama bertaraf ahli Parlimen menyertai Bersatu.
Dalam pada itu kata Dr Mahathir, persidangan kedua Bersatu akan diadakan pada 28 sehingga 30 Disember ini.
Jelasnya, mesyuarat turut membincangkan isu penambahbaikan dalam keahlian parti selain menyelesaikan dengan mudah mana-mana individu yang mahu menjadi ahli.
#Ahli Parlimen Jeli
#Bersatu
#Mahathir Mohamad
#Mustapa Mohamed
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#UMNO