'Tun M pun diberi peluang kedua'
Sinar Harian
Julai 21, 2018 14:31 MYT
Julai 21, 2018 14:31 MYT
Calon Bebas PRK DUN Sungai Kandis, Murti Krishnasamy menegaskan keputusannya bertanding dalam PRK itu sebagai cara untuk memberi balik kepada rakyat Selangor.
Pesara kerajaan itu mengambil inspirasi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang diberi peluang kedua pada usia lebih 90 tahun.
"Saya nak masuk Dewan (Undangan Negeri) untuk menabur bakti balik.
"Tun (Mahathir) diberi peluang kedua...saya (juga mahu) diberi peluang kedua untuk menabur bakti sekiranya pengundi Dun Sungai Kandis pilih saya," katanya kepada pemberita.
Pengumuman pencalonan Murti agak mengejutkan kerana tidak digembar-gembur sehingga namanya disebut oleh Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad sebagai calon.
Menurut Murti keputusan itu hanya dibuat pagi semalam.
"Saya boleh melawan tak ada masalah. Boleh. Saya putuskan pagi semalam. Saya memang asal Klang dan anak Selangor," katanya.
Namun beliau enggan menjawab alasan tindakannya mencalonkan diri.
"(Kenapa bertanding?) Tak payah jawab soalan ini. Saya hanya merancang Tuhan yang menentukan.
"Ini keputusan saya sendiri tanpa paksaan mana-mana. Saya dapat wahyu dari Tuhan saya, saya Hindu," katanya.