Tun M nafi terlibat Langkah Dubai

Sinar Harian
Januari 5, 2024 15:04 MYT
Dr Mahathir berkata, beliau sudah lama tidak berkunjung ke Dubai.- Gambar fail
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan beliau terlibat dengan Langkah Dubai, sebaliknya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pakar dalam gerakan 'kerajaan pintu belakang'.
Dr Mahathir berkata, beliau sudah lama tidak berkunjung ke Dubai.
"Sepanjang ingatan saya usaha politik langkah-melangkah, kerajaan pintu belakang atau backdoor government (kerajaan pintu belakang) adalah kepakaran Perdana Menteri.
"Saya pasti ramai yang masih ingat langkah 16 September tahun 2008 untuk menubuh backdoor government.
"Selain itu, ada juga Langkah Kajang untuk naikkan isteri jadi MB (Menteri Besar) Selangor.
"Ada juga langkah yang bersandar kepada 'I have the numbers' dan juga langkah 'strong, formidable and convincing majority'.
"Semuanya adalah langkah-langkah untuk mengambil alih kerajaan secara backdoor, ” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr Mahathir dengan nada sinis menambah, semasa langkah-langkah tersebut sedang diusahakan, ia tidak dianggap derhaka atau satu pengkhianatan.
"...atau akan menyebab kerajaan tidak stabil, merosak ekonomi atau melanggar prinsip demokrasi.
"Kerajaan pintu belakangnya halal dan suci asalkan dapat jadi PM (Perdana Menteri)," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Datuk Ismail Yusop mendakwa, terdapat usaha untuk menjatuhkan kerajaan Anwar kerana wujud gerakan Langkah Dubai membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) serta ahli Parlimen kerajaan yang mengadakan pertemuan semasa bercuti di sana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan perkara itu dan mendakwa ia turut membabitkan beberapa individu daripada blok kerajaan. - Sinar Harian
#Langkah Dubai #Tun Mahathir #Anwar Ibrahim #kerajaan pintu belakang
;