Kesetiaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada parti seperti yang disebutkannya tidak selari dengan tindakan yang pernah dilakukan beliau dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Bagaimana Dr Mahathir boleh bercakap tentang kesetiaannya kepada parti dan gabungan (Barisan Nasional) apabila beliau sendiri pernah bertindak membelakangi parti?” soal Salleh melalui blog rasminya, http://sskeruak.blogspot.my.

Menurut Salleh, mungkin Dr Mahathir terlupa ketika berselisih faham dengan bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau meletak jawatan daripada UMNO.

“Beliau meninggalkan parti hanya kerana perbezaan peribadi dengan pemimpin UMNO. Itu menunjukkan bahawa kesetiaanya kepada parti pernah goyah,” jelas Salleh.

Selepas meletak jawatan, Dr Mahathir membuat siri jelajah negara untuk menentang Perdana Menteri dan beliau meminta rakyat ‘mengajar’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan mengundi pembangkang.

Kesannya amat besar kepada BN dalam pilihan raya umum, termasuk kehilangan lima negeri kepada pembangkang.

“Hal yang sama sedang berlaku sekarang ini dan jika UMNO dan BN kecundang dalam pilihan raya umum nanti, ia adalah gara-gara Dr Mahathir,” katanya.

Tambah Salleh, Dr Mahathir pernah berkata adalah tidak salah untuk mengkritik dan orang nombor dua perlu mengkritik yang nombor satu.

“(Namun) ketika Dr Mahathir selaku Presiden parti dan Perdana Menteri, beliau tidak dapat bertoleransi dengan kritikan Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim, mahupun daripada Ketua Pemuda UMNO waktu itu, Zahid Hamidi.

“Beliau mengatakan, ‘perlu ada platform yang sewajarnya untuk tujuan itu dan hal dalaman tidak perlu diselesaikan secara umum’,” ujarnya.

Salleh juga menyatakan dalam blognya, Dr Mahathir menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menstruktur semula sistem undian parti supaya hanya undian bahagian dikira untuk kekal berkuasa, sedangkan Dr Mahathir sendiri yang memperkenalkan sistem undian bonus.

Dr Mahathir juga, menurut Salleh, memperkenalkan peraturan ‘orang nombor satu dan dua tidak boleh dicabar’.