Tun M kini hanya ‘attention seeker’ - Fahmi
Ridauddin Daud
Januari 24, 2024 16:59 MYT
Januari 24, 2024 16:59 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad hanya mahu mencari perhatian dengan berulang kali mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang mendakwa terdapat orang Melayu membunuh diri akibat desakan hidup.
Dr Mahathir dilapor berkata demikian ketika berucap semasa menyertai himpunan di Istana Negara pada Selasa.
“Saya tidak tahu mana Tun dapat informasi, mungkin dia pakai ilmu lain.
“Sukar untuk saya jawab secara fakta, tapi saya rasa beliau hanya nak cari perhatian (attention seeker) pada waktu ini.
“Saya rasa kita tidak perlu layan lagi, kita hormat dan beri peluang (usia senja)...beri ruang.
“Mungkin beliau merasakan dirinya tertekan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di bangunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang kepada Perdana Menteri, Fahmi menegaskan sokongan itu membuktikan ramai pihak percaya kepada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, beliau menyambut baik keputusan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi itu namun menegaskan kerajaan langsung tiada niat untuk menarik sokongan mana-mana Ahli Parlimen pembangkang.
Sebaliknya, tambah beliau, sokongan yang hadir itu membuktikan pentadbiran kerajaan berada di landasan betul.
“Apa yang disebut Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal) mungkin ada kebenarannya tapi kita tunggu. Beliau ada sebut tujuh, lapan orang…hari ini satu.
“Tapi yang penting buat kerajaan, dalam keadaan kita stabil tahun lepas, kita berjaya mengumumkan lima dasar penting. Tahun ini adalah pelaksanaan kepada semua dasar tersebut.
“Saya terima baik pengumuman itu tapi yang penting adalah kita perlu membuktikan kepada rakyat…kerajaan ini mampu selesaikan masalah. Ini yang perlu kita buat,” ujarnya.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan Dr Zulkafperi muncul Ahli Parlimen terbaharu daripada pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.