Tun M dedah Zahid Hamidi datang berjumpa untuk berbaik lepas BN tumbang

Ridauddin Daud
Februari 23, 2022 12:37 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga bertemu dengannya namun ia bukanlah berkisar kes mahkamah kerana pertemuan dilakukan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada bertemu dengan beliau dan membawakan timbunan fail mahkamah membabitkan kesnya.
Terbaharu, Tun Dr Mahathir Mohamad pula mendedahkan, Presiden UMNO itu juga pernah datang berjumpa dengan beliau.
Bagaimanapun, pertemuan itu, jelas Dr Mahathir, bukanlah berkisar kes mahkamah, sebaliknya, usaha Ahmad Zahid untuk berbaik-baik dengannya.
Kata Dr Mahathir, dalam pertemuan yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertandang ke rumahnya bersama beberapa orang lain.
BACA: PRN Johor: Zahid Hamidi nafi bawa fail jumpa Muhyiddin, cabar buat sumpah laknat
“Pada masa itu, ada kemungkinan saya jadi Perdana Menteri, sebab itu dia ingin baik dengan saya. Tapi saya dah tahu, masalah Zahid ialah dia ada kemungkinan akan dimasukkan dalam tahanan… masuk penjara kerana perbuatan curangnya, jenayah dilakukannya.
“Selepas dia kembali berkuasa atau bersama dengan parti kerajaan, saya dengar bahawa dia juga cuba nak hapuskan tindakan terhadapnya melalui mahkamah. Itulah Zahid.
“Siasatan masih ada dan dia nak bahawa siasatan itu dihentikan. Itu benar,” kata Dr Mahathir dalam sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di sini, pada Rabu.
BACA: "Saya tidak akan bersumpah kerana saya bercakap benar" - Muhyiddin jawab Zahid Hamidi
Astro AWANI pada Selasa melaporkan Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan bersumpah laknat berhubung kenyataannya baru-baru ini yang menyentuh kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid.
Dalam masa sama, Muhyiddin tidak kisah berapa kali pun Presiden UMNO mahu bersumpah, namun, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian.
Kenyataan itu hadir selepas Ahmad Zahid menafikan pernah berjumpa Muhyiddin ketika beliau masih Perdana Menteri dan meminta Ahli Parlimen Pagoh itu membantu kes mahkamahnya.
Sumpah Laknat | Saya tidak akan bersumpah kerana saya cakap benar - Muhyiddin
Ahmad Zahid juga menafikan membawa timbunan fail dan meminta untuk dilepaskan seperti yang didakwa Muhyiddin sebelum itu.
Tegasnya, beliau sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin terhadapnya.
#Zahid Hamidi #Tun Dr Mahathir Mohamad #Pejuang #PRN Johor
;