Tun M calon PM: Usaha PH untuk tawan kubu UMNO - Penganalisis
Hafiz Marzukhi
Januari 8, 2018 15:38 MYT
Januari 8, 2018 15:38 MYT
Pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) merupakan strategi gabungan tersebut untuk menembusi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata pemilihan tersebut merupakan isyarat PH serius untuk merampas sebanyak mungkin kerusi daripada parti pemerintah.
"Melihat kepada pengumuman tersebut, jelas kelihatan segmen undi mana yang menjadi sasaran PH.
"Namun, sejauh mana usaha mereka akan membuahkan hasil dalam meraih sokongan pengundi Melayu bergantung kepada pelbagai faktor lain," kata beliau kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas impak pengumuman Dr Mahathir kepada pengundi.
Apabila ditanya pula tentang sejauh mana impak pengumuman Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri terhadap pengundi bukan Melayu, Hisomudin berkata beliau tidak melihat ia akan beri impak negatif.
"Jika kita lihat pola pengundian segmen ini, ia menunjukkan pengundian rasional.
"Jadi, saya percaya mereka tidak hanya lihat kepada calon Perdana Menteri sahaja untuk mempengaruhi keputusan pengundian mereka," jelasnya.
Pada Ahad, Dr Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri bagi PH dan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagi timbalannya sekiranya gabungan tersebut memenangi PRU 14.
Selain itu, turut diumumkan pengagihan kerusi bagi kesemua parti komponen PH di Semenanjung Malaysia.