Tun M akan kotakan janjinya - Tan Sri Rashid
Vivi Sumanti
Mei 11, 2019 16:17 MYT
Mei 11, 2019 16:17 MYT
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan, menunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti tidak mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, Lim sepatutnya menaruh kepercayaan berdasarkan jaminan Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.
Malah, Abdul Rashid berkata, Dr Mahathir pernah mengulangi kenyataan sama ketika mesyuarat jawatankuasa induk parti, mengenai peranannya selaku Perdana Menteri sementara.
“Tak payah nak sibuk sangat dengan perubahan jawatan itu, sebab kita lihat Dr Mahathir menyediakan program yang amat lengkap untuk memulihkan ekonomi negara.
“Kita kena lihat usaha itu sebagai keutamaan, bukannya merebut jawatan Perdana Menteri,” katanya selepas majlis Penyampaian Zakat kepada 311 golongan asnaf di sini hari ini.
Abdul Rashid turut menyatakan keyakinannya terhadap Presiden PKR itu, selaku bakal Perdana Menteri ke-8, namun beliau berharap, semua pihak dapat memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menerajui negara ketika ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu juga menasihati pemimpin parti lain supaya tidak mencampuri urusan itu kerana Dr Mahathir pasti akan menyerahkan tugas itu setelah tiba masa yang sesuai.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Lim yang sanggup bersara daripada arena politik jika Dr Mahathir tidak menunaikan janji menyerahkan jawatan kepada Anwar.
Lim berkata, beliau tidak suka membuat pertaruhan tetapi kali ini bersedia untuk berundur dari arena politik dan tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
#Abdul Rashid Abdul Rahman
#Anwar Ibrahim
#bersara
#DAP
#Kota Bharu
#lepaskan jawatan
#Lim Kit Siang
#Mahathir Mohamad
#Perdana Menteri
#Perdana Menteri kelapan
#perdana menteri sementara
#PKR