Tun M akan dibenci seandainya bertanding atas tiket DAP - Penganalisis politik

Wan Syamsul Amly
Februari 23, 2018 13:53 MYT
ISMAIL: Realitinya, banyak pengundi sudah memprotes terhadap kehadiran Tun Mahathir dalam pakatan. - Gambar fail
Rakyat akan membenci dan alergi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad seandainya benar dakwaan Pengerusi PPBM itu akan bertanding di atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
Penganalisis politik Datuk Ismail Sualman berkata, ia sekali gus membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sudah berada di bawah telunjuk DAP.
"Saya percaya jika Dr Mahathir guna tiket DAP ia jadi satu yang begitu allergi sekali bagi kalangan pengundi Melayu khususnya kerana selama ini Tun Mahahir jadi kepala kepada Melayu menjauhi DAP dan kali ini dia bertanding atas tiket DAP.
"Jadi kini dia terima tempelak atas apa yang dia kata selama ini. Malahan bila PPBM bersama DAP dalam satu pakatan, ia sudah cukup menjengkelkan rakyat dan pengundi terutama di peringkat bawahan.
"Mungkin di peringkat atasan mereka boleh berunding dan bersatu. Tetapi pada realitinya, banyak pengundi sudah memprotes terhadap kehadiran Dr (Tun) Mahathir dalam Pakatan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
BACA: 'Tun M dan Mukhriz tak kisah PPBM terkubur asalkan menang PRU14' - AzwanBro
BACA: Tun M calon Harapan di Pontian?
Sebelum ini Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU14.
Jelas Mohd Puad, tindakan itu dikatakan berikutan PPBM gagal mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan hendak ditandingi.
Tambahnya, hasrat Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM itu mewujudkan satu usaha dalaman oleh kelompok 'proMahathir' untuk mensabotaj pendaftaran parti berkenaan dengan menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Dalam pada itu kata Ismail, seandainya kebencian rakyat adalah kerana selama ini mereka begitu taksub dengan apa yang Tun Mahathir perjuangkan semasa dalam UMNO selama ini.
"Malah Tun Mahathir turut menganggap DAP musuh negara tetapi sekarang dia sendiri berjinak dengan DAP. Saya rasa cukup hairan tetapi kepelikan ini satu realiti dalam hidup Tun Mahathir sebenarnya," jelasnya.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun sebelum ini menjelaskan, Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih rela melihat PPBM terkubur asalkan mereka berdua menang pada PRU14 akan datang.
Jelasnya, dua individu itu kini dalam keadaan terdesak untuk menang dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik masing-masing.
#DAP #Ismail Sualman #Khairul Azwan Harun #Mahathir Mohamad #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PPBM
;