Tun Daim sifatkan Mustapa 'budak baik'
Sinar Harian
Mei 6, 2018 06:59 MYT
Mei 6, 2018 06:59 MYT
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengakui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang juga bekas anak didiknya, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai ‘budak baik’.
Menurutnya, calon BN Parlimen Jeli itu seorang yang lurus, amanah dan bijak apabila menjadi anak Melayu pertama mendapat ijazah kelas pertama dalam pengajian bidang ekonomi.
“Saya ambil dia (Mustapa) kerja di sebuah syarikat, ketika itu saya pengerusi syarikat berkenaan. Dia tak tahu saya akan jadi menteri kewangan tapi saya bagi tahu, dia tak lama di sini, dia bersetuju. Sebulan selepas itu saya jadi menteri kewangan, saya bawa dia ke kementerian.
“Saya lantik dia jadi setiausaha politik, lepas itu saya nak berhenti, saya bantu dia jadi senator dan timbalan menteri. Dia bertanding di sini (Jeli), kali pertama dia menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Temu Mato Rakyat Jeli Bersama Tun Daim Zainuddin’ anjuran Pakatan Harapan Kelantan di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Daim yang kini dalam siri kempen bersama Harapan berkata, Mustapa bagaimanapun tewas ketika bertanding di kerusi berkenaan buat kali kedua pada 1999.
“Bila kalah dia tak ada kerja, saya ambil dia jadi penasihat menteri kerana nak bagi gaji pada dia, dan saya cadangkan dia jadi Gabenor Bank Negara. Tapi saya ingatkan dia mulut kena diam sebab nak jadi gabenor tak boleh sebelah mana-mana.
“Tapi mulut dia tak boleh tutup, dia banyak bawa keluar kenyataan politik, akhirnya saya bincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kita buat dia jadi ketua penerangan.
“Kita fikir macam mana dia nak jadi ketua penerangan, dia orang baik. Dia lurus, kuat agama, jadi ketua penerangan kena pandai jawab dan pusing sikit tapi akhirnya dia menang balik PRU lepas itu,” katanya.
#Barisan Nasional
#calon
#Daim Zainuddin
#kenyataan politik
#MalaysiaMemilih
#Melayu
#Mustapa Mohamed
#Pakatan Harapan
#Parlimen Jeli
#politik
#PRU14