Tumpu kepada rakyat, bukan tukar kerajaan - Penganalisis
Ridauddin Daud
Januari 25, 2021 15:19 MYT
Januari 25, 2021 15:19 MYT
KUALA LUMPUR : Sekarang bukanlah masa sesuai untuk menukar kerajaan atau mewujudkan ‘caretaker government’ kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.
Menurutnya, baik kerajaan atau pembangkang harus bekerjasama, mengadakan perbincangan untuk memastikan negara berada di landasan yang betul.
Soalnya, sekiranya kerajaan bertukar, adakah kestabilan politik yang kerap diungkapkan sebelum ini boleh dicapai.
“Mereka tidak harus bermain politik kerana bagi saya, kalau ada usaha untuk menekan kerajaan sedia ada dan menggantikannya ketika kita berdepan COVID-19 dan juga kita berdepan dalam keadaan darurat, ia akan meletakkan politik negara dalam keadaan tidak stabil.
“Mungkin ia akan menyebabkan berlakunya krisis yang lebih besar. Bagi saya, kita tidak harus memikirkan soal ‘caretaker government’ untuk ketika ini,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Isnin.
Menurutnya, apa yang penting sekarang adalah kerajaan dan pembangkang duduk bersama dan bertukar buah fikiran mencari strategi terbaik tangani isu ekonomi dan kesihatan negara.
BACA: Pembangkang perlu hati-hati mahu sidang Parlimen, usah desak tukar kerajaan - Pakar perlembagaan
“Kuasa yang ada yang telah diberikan rakyat melalui mandat atau kuasa yang telah diberikan kepada mereka harus digunakan sebaiknya untuk tangani masalah dihadapi rakyat, termasuk dari segi ekonomi dan juga ancaman kesihatan sekarang.
“Hanya dengan itu rakyat dapat menyanjung tinggi kerajaan sedia ada. Kalau tidak rakyat ada hak untuk mempertikaikan kedudukan dan kuasa yang tidak digunakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.
Astro AWANI pada Ahad melaporkan persidangan Parlimen boleh dilakukan ketika tempoh darurat seperti yang dikehendaki oleh pembangkang namun ia perlu laksanakan bukan bertujuan untuk menukar kerajaan.
Politik | Jangan desak sidang Parlimen untuk tukar kerajaan
Menurut Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain, gabungan pembangkang perlu berhati-hati dengan permintaan mereka untuk mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.
Dr Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, ketika ini Parlimen boleh bersidang tetapi sekiranya terdapat usaha menukar kerajaan, perdana menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
#darurat
#Caretaker Government
#tukar kerajaan
#kerajaan
#Perikatan Nasional
#PN
#Yang di-Pertuan Agong
#Parlimen
#Perdana Menteri
#ekonomi
#politik
#pembangkang
#kesihatan
#rakyat
#menteri
#COVID-19