Tular surat UMNO, Pas ajak Bersatu sertai Muafakat Nasional

Astro Awani
Ogos 20, 2020 20:26 MYT
Surat yang mengajak Muhyiddin dan Bersatu menyertai Muafakat Nasional mengandungi tandatangan Ahmad Zahid dan Hadi Awang kini tular di media sosial. - Gambar fail
SEPUCUK surat mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) disebarkan dalam media sosial pada Khamis.
Surat tersebut yang dikongsi laman Facebook ‘Friends of BN - Barisan Nasional’ itu turut mempunyai tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berdasarkan kepala surat berkenaan, jemputan itu ditujukan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ditujukan ke alamat Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
Kandungan surat itu antara lain menyatakan UMNO dan Pas dengan sukacitanya mengalu-alukan penyertaan Bersatu dalam MN.
“Semoga YAB Tan Sri sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dalam jagaan Allah SWT.
BACA: Bersatu zahir hasrat sertai Muafakat Nasional - Ahmad Zahid
BACA: Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional dimuktamad dalam masa terdekat
“Kami mengambil maklum kesediaan YAB Tan Sri mempertimbangkan penyertaan Bersatu sebagai anggota Muafakat Nasional. Sehubungan dengan itu, dengan sukacitanya mengalu-alukan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.
“Maka dengan ini, Muafakat Nasional menghulurkan jemputan tersebut kepada YAB Tan Sri bagi merealisasi harapan kami di Muafakat Nasional,” menurut surat tersebut.
Laman Facebook itu berkongsi surat tersebut sekitar puukul 4 petang Khamis beserta status: “Bila Bersatu join MN. Kita akan kuat!”
Pada 30 Julai lepas, dalam satu sidang media, Ahmad Zahid mendedahkan, Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk menyertai MN.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan PAS untuk diperhalusi.
BACA: Gabungan Pas, UMNO, Bersatu wujudkan gagasan 'Melayu Raya' - Pas
BACA: Muafakat Nasional masih tunggu jawapan rasmi Bersatu - Zahid
Muhyiddin pula dalam reaksinya berkata, penyertaan Bersatu dalam gabungan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu juga bersetuju dengan dengan cadangan itu yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan besar.
Dalam pada itu, Pas menyatakan sokongan penuh dengan keputusan Parti Bersatu untuk menyertai MN yang diasaskan oleh UMNO dan Pas.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi gabungan yang yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal membabitkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.
#Abdul Hadi Awang #Barisan Nasional #Bumiputera #Facebook #Islam #Malaysia #Media #media sosial #Melayu #Muhyiddin Yassin #Parlimen #PAS #Petaling Jaya #PPBM #presiden #Takiyuddin Hassan #UMNO #Zahid Hamidi
;