Tular surat perjumpaan khas UMNO bersama Presiden, PM
Sinar Harian
Oktober 1, 2022 07:30 MYT
Oktober 1, 2022 07:30 MYT
SHAH ALAM: Tular satu surat jemputan berhubung perjumpaan khas pemimpin UMNO peringkat bahagian bersama Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual berlangsung pada Selasa depan.
Berdasarkan surat berkenaan, perjumpaan itu melibatkan semua Ketua UMNO Bahagian serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian.
Perjumpaan tersebut adalah kesimbungan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diadakan dalam tahun ini.
Dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, majlis pertemuan itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada jam 2 petang.
“Adalah dimaklumkan bahawa satu perjumpaan khas bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan diadakan pada 4 Oktober 2022 (Selasa) bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, WTC.
“Sehubungan dengan itu, semua Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian adalah dijemput hadir ke majlis tersebut,” tulis dalam surat jemputan berkenaan.
Surat tersebut yang tular baru-baru ini bagaimanapun tidak ada sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak dalam UMNO.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak menerima mana-mana surat berhubung jemputan tersebut.
“Sebab saya pun baru sahaja balik. saya sendiri tidak terima surat lagi. Yang lain saya tidak tahu,” katanya. -Sinar Harian