Tukar Wan Azizah dengan Lim Kit Siang, sebagai ketua pembangkang - Shahrizat
Bernama
April 8, 2017 13:30 MYT
April 8, 2017 13:30 MYT
Pergerakan Wanita UMNO mendesak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan jawatan Ketua Pembangkang dan membiarkan penasihat DAP Lim Kit Siang mengambil alih peranan itu.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata desakan itu dibuat bagi mengelak orang Melayu daripada terpedaya dengan muslihat politik Lim dan DAP.
Katanya, Wanita UMNO melihat tindakan licik Lim memilih Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang hanya untuk meyakinkan orang Melayu bahawa pakatan pembangkang dikuasai pemimpin Melayu, sedangkan yang sebenarnya, ia dikuasai DAP dan pemimpin Melayu hanya dijadikan boneka politik mereka.
Shahrizat berkata Wanita UMNO mengikuti perjalananan sidang Dewan Rakyat dan satu perkara yang amat jelas, kedudukan Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang tidak dapat dirasai pada persidangan itu kerana sikap Wan Azizah yang sering diam menikus dalam menerajui barisan pembangkang.
"Sebaliknya, Lim Kit Siang pula yang lantang bersuara dan membuat kecoh mewakili pembangkang dan jika beginilah, Lim sepatutnya menjadi Ketua Pembangkang kerana jelas dia yang sebenarnya menguasai pakatan ini.
Kedudukan DAP lebih dominan dalam pakatan pembangkang dari segi bilangan kerusi iaitu 37 berbanding PKR 27, (dan) pelantikan Lim Kit Siang sebagai Ketua Pembangkang amat bertepatan sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya memandangkan bilangan kerusi Parlimen DAP yang lebih banyak daripada pembangkang lain, maka semestinya Lim Kit Siang menjadi calon Perdana Menteri pilihan pakatan pembangkang.
"Jika ini berlaku, barulah orang Melayu sedar pilihan mereka dalam pilihan raya umum ke-14 kelak merupakan pilihan untuk memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri atau Lim Kit Siang," katanya. -- BERNAMA
#Ketua Pembangkang
#Lim Kit Siang
#Melayu terpedaya
#pembangkang
#Shahrizat Abdul Jalil
#tindakan licik
#Wan Azizah Wan Ismail
#Wanita UMNO