Tukar KM kepada 'Premier', Sabah perlu ikut langkah Sarawak - Khairul Firdaus
Eleanor Michelle Patrick
Februari 16, 2022 19:04 MYT
Februari 16, 2022 19:04 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah disaran untuk mengikut jejak langkah Sarawak, yang telah meluluskan pertukaran terma 'Ketua Menteri' kepada 'Premier'.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan, langkah ini meletakkan Sarawak bukan lagi setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia, malah secara jelas menunjukkan status negeri Sarawak menuju ke arah autonomi.
Menurutnya, Bersatu Sabah memberikan penghormatan tinggi kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang berjaya meluluskan terma berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
"Hasil daripada tindakan Kerajaan Negeri Sarawak, Bersatu (Sabah) menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sabah dapat mengikuti tindakan yang telah di laksanakan.
"Tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin-pemimpin utama negeri kita seperti Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen sewaktu penubuhan Malaysia.
"Kesepakatan pemimpin-pemimpin Sabah harus di tonjolkan dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak rakyat Sabah dan dengan kesepakatan yang kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar yang cuba untuk mengugat kestabilan politik negeri kita," katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.
Sementara itu, Khairul turut berkata, isu kemunduran yang berlaku di Sabah adalah disebabkan permainan politik yang terlampau dari sejak mencapai kemerdekaan, dan harus dihentikan.
"Dengan meletakkan status Sabah berlainan dengan negeri-negeri yang lain, pastinya generasi baru akan lebih memahami apakah pembentukan negara Malaysia sebenarnya.
"Sabah dan Sarawak adalah tunjang utama pembentukan Negara Malaysia dan pastinya dalam masa-masa yang mendatang mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara Malaysia," katanya lagi.