Tujuh calon muda terima Dana Sinar

Sinar Harian
Mei 5, 2018 12:29 MYT
Tujuh calon anak muda yang bertanding pada PRU14 ini menerima Dana Sinar Anak Muda Dalam Politik yang dilancarkan Sinar Harian 9 April lalu.
Tujuh calon anak muda yang bertanding pada PRU14 ini menerima Dana Sinar Anak Muda Dalam Politik yang dilancarkan Sinar Harian 9 April lalu.
Mereka yang terpilih ialah calon Bersatu Dun Kayang, Perlis, Abdul Hannaan Khairy, 24; calon PKR Dun Damak, Wong Chun Yuan, 29; calon DAP Dun Ketari, Young Syefura Othman (Dun Ketari, Bentong), 28; calon MCA Dun Sekinchan, Lee Yee Yuan Dun, 29 dan calon Amanah Dun Paka, Hasbie Muda, 30.
Setiap seorang menerima RM15,000 kerana bertanding di peringkat Dun.
Sementara calon Pas Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, 29, dan calon Bersatu Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima RM30,000 setiap seorang.
Setiausaha Sekretariat, Norden Mohamed berkata, selain wang tunai, calon yang terpilih akan mendapat liputan satu halaman di Sinar Harian dan temubual secara langsung di Sinar Online.
Katanya, idea mewujudkan dana ini tercetus apabila Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan beberapa orang dermawan berbincang lalu sedar betapa moleknya jika masyarakat dapat menggalakkan anak-anak muda untuk terlibat sama dalam politik untuk membina negara.
“Bagaimanapun, sebagai orang muda, mereka ini menghadapi kekangan kewangan dan perlu dibantu bagi merealisasikan hasrat mereka.
“Oleh itu, mereka sepakat menubuhkan dana ini dan hasilnya setakat ini sejumlah RM300,600 telah terkumpul melalui sumbangan seorang juruterbang, individu awam, Pengarah Urusan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes, Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak serta sumbangan seorang negarawan yang tidak mahu dikenali,” katanya dalam satu kenyataan.
Norden berkata, Dana Sinar memperuntukkan kuota untuk semua calon anak muda daripada mana-mana parti politik di Semenanjung yang bertanding pada PRU14.
Beliau berkata, pihaknya masih membuka permohonan kepada calon-calon anak muda yang masih belum memohon daripada parti Umno, MIC, Gerakan dan calon Bebas.
“Akhbar Sinar Harian sebagai pengendali dana ini ingin menyumbang secara sama rata iaitu seorang mewakili sebuah parti.
“Ini bertepatan dengan tujuan agar semua anak-anak muda yang mewakili parti politik masing-masing dapat sama-sama membina masa depan negara sebagai matlamat utama.
“Sebagai usaha permulaan, perlaksanaan dana ini masih belum begitu lancar namun ia akan terus diperbaiki. Untuk pengetahuan, baki sumbangan dana ini akan digunakan bagi membina anak-anak muda dalam aktiviti politik berwadah nasional.
“Ia akan terus diaktifkan walaupun selepas PRU14, malah untuk tahun-tahun mendatang. Untuk itu, sesiapa sahaja dipelawa untuk menyumbang dana ini,” katanya.
#anak muda #calon anak muda #Dana Sinar Anak Muda #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #pilihan raya umum #politik #PRU14 #Sinar Harian #Syed Saddiq #Young Syefura
;