'Tujuh bulan tiada mesyuarat, pakatan DAP, PKR dan PAS makin rapuh'

UMNO Online
Januari 30, 2015 04:05 MYT
M.KAYVEAS: Tujuh bulan tiada mesyuarat...pakatan DAP,PKR dan PAS makin rapuh - Gambar fail
Mesyuarat amat penting dalam memastikan setiap urusan dan pentadbiran berlangsung dengan lancar.
Namun tentu ada sesuatu yang tidak kena apabila satu pakatan parti-parti politik tidak mengadakan pertemuan dalam satu jangka masa yang lama, sebagaimana yang berlaku kepada PKR, DAP dan PAS.
Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Tan Sri Dr M. Kayveas berkata apabila tidak berlangsung mesyuarat dalam tempoh yang lama maka ia menggambarkan sudah tidak wujud lagi satu pakatan sebagaimana yang mereka lakukan sebelum ini.
"Bagaimana pengurusan dan pentadbiran akan berlangsung sekiranya tidak ada pertemuan dan perbincangan dalam pakatan yang mana menunjukkan sekarang ini hanya seorang dua sahaja yang benar-benar berkuasa dan bercakap menguasai yang lain.
"Apabila ini berlaku maka tidak ada satu keputusan dicapai atas segala urusan yang berlangsung sehinggakan keputusan hanya melibatkan seorang dua yang membuktikan wujudnya sifat diktator dan menguasai dalam pakatan pembangkang," katanya kepada UMNO-Online.
Difahamkan, PKR, DAP dan PAS sudah tujuh bulan tidak mengadakan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebagaimana pernah diakui oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyatakan kekangan masa sebagai wakil rakyat menjadi punca.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor pernah menyatakan akan bermesyuarat pada bulan Januari lantaran terlalu banyak cuti pada Disember, namun sehingga kini tidak ada apa-apa yang berlaku.
Selain itu, pemimpin DAP, Lim Kit Siang pula pernah memberi bayangan bahawa Pakatan Rakyat akan terbubar kerana gagal bermesyuarat lantaran masing-masing dibelit dengan pelbagai perbalahan dalaman yang berisiko kehilangan sokongan rakyat.
"Pakatan pembangkang ini ibarat sudah tamat tempoh kerana mereka berpakat hanya untuk mendapatkan kuasa, pangkat dan kedudukan sahaja, dan sekarang masing-masing sudah ada negeri yang ditadbir masing-masing maka tentulah mereka terlalu sibuk dengan kuasa, pangkat dan kedudukan yang mereka miliki.
"Antara PKR, DAP dan PAS tidak pernah ada haluan yang sama, tetapi mereka bergabung hanya atas tujuan bagi mendapatkan kuasa dan kepentingan peribadi.
"Maka hari ini, jika mereka bermesyuarat, tentunya akan ada lebih banyak perbalahan dan pertentangan pendapat."
Jelas beliau, hal tersebut amat berbeza dengan Barisan Nasional yang akan mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertingginya bagi memastikan setiap perancangan dalam pentadbiran adalah selaras serta mempunyai hala tuju yang sama untuk kepentingan semua.
"Jika tidak ada pertemuan dan perbincangan secara formal dibuat, maka bagaimana bentuk pentadbiran dan hala tuju bagi pakatan pembangkang kerana sehingga hari ini pun rakyat dapat melihat antara mereka masih saling berbalah walaupun dalam parti yang sama, apatah lagi dalam pakatan yang sememangnya tiga parti berbeza.
"Pemimpin pembangkang hanya mahukan kuasa sahaja dan apabila mereka dapat apa yang dimahukan maka buatlah sesuka hati," katanya.
Tambah beliau lagi, ini amat berbeza dengan BN yang sentiasa mencapai semangat konsensus dalam apa-apa dasar dan program yang bakal dilaksana iaitu mengambil kira kepentingan semua pihak yang semuanya diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertingginya.
#DAP #kayveas #Pakatan Rakyat #PAS #pembangkang #PKR #PPP #terbubar #tiada mesyuarat