Tujuh bulan jadi menteri tak jumpa jalan ke Perlis

Astro Awani
Disember 15, 2018 11:38 MYT
Perwakilan Perlis meminta Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub agar mengunjungi Perlis atas kapasiti menteri pertanian. - Gambar fail
Perwakilan Amanah Perlis, Muhammad Saad@Yahya menegur Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub yang juga Timbalan Presiden parti yang masih tidak membuat lawatan ke negeri tersebut biarpun sudah tujuh bulan dipilih menganggotai Kabinet.
Teguran itu dibuat ketika membahaskan pidato presiden di Konvensyen Amanah Nasional 2018 yang diadakan di Ipoh, Perak pada Sabtu.
"Kami di Perlis, pertanianlah sumber kami tetapi tujuh bulan dah dilantik jadi menteri pertanian tetapi masih tak jumpa jalan nak ke Perlis.
"Orang kata, menteri dari Amanah tapi tak nampak bayang pun datang Perlis," katanya.
Perwakilan Perlis itu juga menggesa Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan agar mengambil berat tentang veteran tentera dan mencadangkan seorang pegawai khas dilantik untuk menguruskan perkara tersebut.
Amanah mengadakan konvensyen pertamanya selepas membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan.
#Amanah #Konvensyen Amanah Nasional 2018 #Malaysia #Mohamad Sabu #Parti Amanah Negara #Perak #Perlis #pertanian #Salahuddin Ayub
;