Tujuh ADUN angkat sumpah sebagai Exco Perak

Abd Razak Mohd Ali
Mac 31, 2020 14:17 MYT
ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad adalah antara tujuh ADUN yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baharu hari ini. - Foto Astro AWANI
Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baharu hari ini.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini, pagi ini.
Mereka ialah ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad, ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ketiga-tiganya dari Umno.
Dua orang dari Bersatu iaitu ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi dan dua dari Pas iaitu ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Faizal Azumu berkata, tiga lagi kekosongan akan diisi dalam masa terdekat, kemunginan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Portfolio belum lagi kita rundingkan, insya Allah selepas ini saya akan berjumpa dengan semua Ahli Majlis Mesyuarat yang telah angkat sumpah untuk bincang hati ke hati membina satu pasukan yang mantap untuk rakyat,” katanya ketiga ditemui di pekarangan Istana Kinta.
Ahmad Faizal berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan perkara itu secepat mungkin.
#ADUN #Allah #Exco #kerajaan #menteri #Menteri Besar #PAS #rakyat #Sultan Perak #UMNO
;