Tuduhan Rafizi terhadap Najib tidak adil, berniat jahat - Hasan Arifin
Bernama
Mac 14, 2017 18:54 MYT
Mac 14, 2017 18:54 MYT
Tuduhan Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "champion" (juara) dalam membelanjakan wang hasil Petronas adalah tuduhan yang tidak adil dan berniat jahat.
Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin berkata adalah menjadi kebiasaan bagi Rafizi membuat pelbagai tuduhan dan sangkaan jahat kepada pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama Najib dengan menggunakan angka serta data-data yang mengelirukan, bertujuan memberi persepsi buruk kepada kerajaan.
"Semalam, ketika sesi perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong (di Dewan Rakyat) oleh Rafizi, saya ada membuat pencelahan apabila beliau membuat tuduhan bahawa Najib adalah Perdana Menteri 'champion' dalam membelanjakan wang hasil Petronas.
"Dalam pencelahan semalam, saya nyatakan adalah tidak adil bagi Rafizi mengambil jumlah yang dibelanjakan Perdana Menteri sekarang dengan Perdana Menteri lepas iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi tanpa membandingkan harga minyak mentah ketika zaman itu dengan zaman Najib," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasan berkata ketika zaman Dr Mahathir, harga minyak mentah adalah sekitar US$30 setong, begitu juga dengan zaman Abdullah, kecuali pada 2008 di mana harga minyak mentah melonjak dengan harga purata keseluruhan US$70 setong.
Bagaimanapun menurut Hasan, ketika zaman Najib harga bahan api itu melepasi purata harga US$100 setong iaitu pada 2011, 2012, 2013 dan 2014 yang sekali gus menyebabkan hasil yang diterima Petronas menjadi lebih besar.
Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata dari segi perbelanjaan untuk subsidi pula, kerajaan di bawah pimpinan Najib telah membelanjakan RM35 bilion pada 2011, hampir RM45 bilion pada 2012, hampir RM45 bilion pada 2013 dan lebih kurang RM40 bilion pada 2014.
"Pada masa sama, rakyat juga sendiri dapat melihat perbelanjaan infrastruktur yang dibelanjakan kerajaan pada zaman Najib seperti projek MRT yang jelas memberi manfaat secara langsung kepada rakyat berbanding zaman Mahathir dan Abdullah," katanya.
-- BERNAMA