Tuduh BN bawa pengundi hantu ke Perak, cubaan raih simpati
Bernama
Oktober 8, 2017 20:56 MYT
Oktober 8, 2017 20:56 MYT
Tuduhan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa Barisan Nasional (BN) telah membawa 56,323 pengundi hantu di Perak bukan sahaja tidak berasas, malah satu cubaan untuk meraih simpati para pengundi.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata sekiranya tidak berpuas hati, Nga sepatutnya mengemukakan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukannya menuding jari kepada BN.
"Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pun dia telah gembar-gemburkan bahawa BN Perak telah bawa ramai pengundi hantu.
"Sebaik mereka kalah, Nga canang perkara ini dan apabila kita minta bukti, sampai sekarang dia masih gagal mengemukakannya," katanya dalam satu sidang media di sini, pada Ahad.
Beliau mengulas tuduhan yang dilemparkan Nga terhadap BN melalui laman Twitter miliknya, minggu lepas.
Saarani berkata jika didapati aduan atau bantahan Nga berasas, maka SPR sudah pasti mengeluarkan nama pengundi yang tidak berkenaan daripada senarai.
Selain itu, Saarani berkata, tuduhan dibuat Nga juga mungkin sebagai cubaan untuk mengalihkan kebimbangannya terhadap peningkatan lebih 50 peratus bilangan pengundi Melayu seperti diwartakan SPR 30 Jun lepas.
"Disebabkan itu, Nga jadi gelisah dan untuk menutup kenyataan yang pernah dibuat terhadap bilangan pengundi Melayu, dia gunakan isu pengundi hantu dan serang BN," katanya.
-- BERNAMA