Tubuh Perikatan Nasional idea Tun Mahathir untuk kekal sebagai PM - Azmin

Hakim Rahman
November 29, 2020 15:09 MYT
Idea penubuhan Perikatan Nasional datang daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohama, dakwa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, idea penubuhan Perikatan Nasional (PN) datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.
“PN bukan kerajaan pintu belakang kerana terdapat kekosongan jawatan (Perdana Menteri). Saya tidak mencadangkan pada masa itu. Jika kejadian (Dr Mahathir letak jawatan) tidak berlaku - di mana kami ketuk pintu untuk masuk ke dalam dan keluarkan dia.
“Itu bukan dalam rancangannya,” kata Azmin dalam wawancara bersama The Star.
Azmin turut mendedahkan, 131 akaun bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen pelbagai parti telah dipersembahkan ke Istana Negara, sebelum Dr Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu.
“Hanya satu nama untuk Perdana Menteri - Dr Mahathir. Kami berusaha sehabis mungkin untuk memastikan Dr Mahathir dapat meneruskan (khidmat) sebagai Perdana Menteri.
“Itu adalah hasil mesyuarat yang kita buat di rumahnya (Dr Mahathir) pada 23 Februari pukul 4 petang di mana dia berjumpa dengan enam ketua parti politik, termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketua Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Openg dan saya,” kata Azmin.
Azmin turut merujuk situasi ketika Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019, di mana semua pemimpin Melayu hadir kecuali Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dan mempersoalkan tindakan Dr Mahathir untuk hadir ke kongres tersebut bersama UMNO dan Pas.
Mengikut pelan peralihan kuasa Pakatan Harapan sebelum ini, Dr Mahathir akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan kuasa kepada Anwar yang merupakan pemimpin parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).
Dr Mahathir punca krisis politik
Menurut Azmin, rancangan itu gagal sepenuhnya apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 24 Februari.
Beliau turut memberitahu, Muhyiddin bertindak pantas bagi mengelakkan orang lain bergegas ke istana untuk mengisi kekosongan jawatan Perdana Menteri.
“Jika Muhyiddin tidak bertindak, seseorang mungkin akan ke Istana Negara dan memohon untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak akan biarkan hal itu berlaku.
“Pilihan yang ada untuk saya dan Muhyiddin adalah untuk tinggalkan PH,” kata Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.
Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Interim pada 24 hingga 28 Februari, Azmin mendedahkan beliau bertungkus-lumus berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen.
“Jika tiada sokongan, tiada apa boleh dilakukan. Oleh kerana, tidak ada persidangan Parlimen ketika itu dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, Agong harus memutuskan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
“Akhirnya, Muhyiddin dapat sokongan, Sudah tentu kami bentuk kerajaan baharu, bukan melalui pilihan raya tetapi melalui krisis politik.
“Jika Dr Mahathir tidak letak jawatan Isnin itu, dia akan kekal jadi Perdana Menteri dengan majoriti besar,” tegas Azmin.
#Azmin Ali #letak jawatan #PM #Mahathir Mohamad #Perikatan Nasional #Pakatan Harapan #politik #akaun bersumpah
;